
Laporan/foto: Mohd Zuhairi /Mohd Hizami (Petaling)
PETALING JAYA, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM185 juta untuk membaiki kemudahan di 358 Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena Forum Komuniti (FORKOM) di Dewan Blok A PPR Lembah Subang 1
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu merupakan keutamaan Kerajaan MADANI dalam memastikan nasib penduduk PPR terutama dalam kalangan miskin bandar sentiasa terbela.
Peruntukan tersebut digunakan untuk menampung kos pembaikan lif, cat baru, baiki bumbung dan membaiki kemudahan di PPR.
“Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan perkara tersebut tetapi masyarakat perlu menjaga sebaik mungkin kawasan perumahan mereka,” ujarnya.

Penyampaian plak Komuniti Cemerlang daripada Think City kepada Wakil Komuniti PPR Lembah Subang 1, Isham Romli disaksikan oleh Perdana Menteri
Anwar berkata demikian semasa Forum Komuniti (FORKOM) di Dewan Blok A PPR Lembah Subang 1, di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1.2 juta untuk kos membaik pulih PPR Lembah Subang 1 terutamanya yang melibatkan kemudahan lif yang sering mengalami kerosakan.
Sementara itu, wakil Komuniti PPR Lembah Subang 1, Isham Romli, 62, sangat terharu dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kawasan perumahan mereka.
“Penduduk merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memlih PPR Lembah Subang 1 sebagai tapak Program Kita untuk Kita (K2K),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Komunti Madani Ara Damansara, Badaruddin Mat, juga menyokong program K2K yang bukan sahaja merubah aspek fizikal tetapi lebih utama ia juga memperkukuh semangat kejiranan,kesepakatan dan ukhwah.
Rata-rata penduduk yang ditemui bersyukur dengan pengumuman Perdana Menteri yang akan memantau perkembangan PPR Lembah Subang 1 bermula minggu hadapan dan seterusnya dijadikan contoh kepada PPR yang lain.
Forum Komuniti (FORKOM) adalah sebuah platform yang diwujudkan untuk tujuan kolaborasi di antara penduduk di perumahan awam yang mana anggotanya merupakan ketua atau wakil penggerak komuniti daripada kumpulan-kumpulan komuniti di perumahan awam.
-AA-