
Laporan/foto: Muhd Afiqq (Selangor)/Hezlee Said (Putrajaya)
KAJANG, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak serta penjenamaan semula Hospital Kajang kepada Hospital Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Perasmian Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak dan penjenamaan semula Hospital Kajang kepada Hospital Tengku Permaisuri Norashikin
Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat pada Perasmian Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak dan penjenamaan semula Hospital Kajang kepada Hospital Tengku Permaisuri Norashikin hari ini.
Sultan Selangor dalam titah perasmian berkongsi rasa sukacita kerana fasiliti hospital yang ada telah pun ditambah baik serta dinaik taraf dari semasa ke semasa.
“Dengan terbinanya bangunan baru Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak di hospital ini, Beta berharap mutu perkhidmatan kepada rakyat akan ditingkat ke tahap yang lebih baik dan akan menjadi pelengkap kepada Hospital Kajang.
“Alhamdulillah, rakyat di Hulu Langat kini mempunyai pilihan kemudahan hospital kerajaan yang dilengkapi dengan peralatan canggih dan berteknologi tinggi bagi penyampaian perkhidmatan kesihatan wanita dan kanak-kanak yang komprehensif,” titah Baginda.
Pembangunan pusat rawatan ini bertujuan memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat, khususnya kepada hampir 1.4 juta penduduk di sekitar Kajang dan daerah Hulu Langat.
-AA-