Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MBSA Peruntuk RM150 Juta Atasi Isu Banjir di Setia Alam

By 7 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/MBSA

SHAH ALAM, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan RM150 juta menerusi Projek Tebatan Banjir Setia Alam bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan tersebut sejak 2021.

Sekitar Majlis Perasmian Sesi Town Hall Bagi Pelan Tebatan Banjir Setia Alam Seksyen U13 yang dihadiri oleh Najwan (empat dari kiri) diiringi Datuk Mohd Fauzi, Datuk Bandar Shah Alam (tiga dari kiri) dan Ahli Parlimen Shah Alam (tiga dari kanan) bertempat di Concorde Hotel, Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi, berkata projek tebatan banjir ini bakal memanfaatkan lebih 200,000 penduduk di sekitar Setia Alam yang kerap menjadi mangsa banjir kilat dan melibatkan Sungai Binjai dan Sungai Puloh.

“Pelan tebatan banjir ini akan memperkenalkan perparitan lestari yang dapat menangani isu banjir serta mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

“Pendekatan ini merangkumi elemen seperti penyerapan air semula jadi, pengekalan kawasan hijau dan integrasi teknologi moden dalam pengurusan air,” katanya selepas merasmikan Sesi Town Hall Pelan Tebatan Banjir Setia Alam, di sini kelmarin.

Pihak MBSA turut mengadakan sesi dialog bersama wakil penduduk Setia Alam untuk membincangkan perancangan kajian tebatan banjir terhadap penyelesaian jangka panjang untuk atasi masalah banjir di Setia Alam.

Sesi Town Hall Pelan Tebatan Banjir Setia Alam melibatkan penyertaan seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis MBSA, pengurusan tertinggi MBSA, pemaju, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, dan agensi-agensi teknikal..

Sesi Town Hall (dialog awam) ini merupakan inisiatif pihak MBSA untuk memastikan kawasan Setia Alam yang berada di bawah pentadbiran MBSA mempunyai sistem pengurusan banjir yang bersistematik, efisien dan terbaik seterusnya menjadikan bandar raya Shah Alam sebuah bandar raya yang berkualiti, sejahtera dan bertaraf dunia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda