Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Gotong-Royong Bersepadu Membanteras Wabak Denggi

By 7 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)/Majlis Daerah Pendang 

PENDANG, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Rentetan penularan wabak denggi yang direkodkan di daerah Pendang sejak awal tahun ini, Majlis Daerah Pendang (MDP) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pendang telah menganjurkan Program Gotong-Royong Bersepadu bagi membersihkan kawasan Zon 8, 9 dan 10 meliputi kawasan perumahan Taman Sri Mas, Taman Sri Delima dan Taman Sri Pendang.

Para peserta mendengar taklimat sebelum memulakan aktiviti gotong-royong.

Objektif utama program ini adalah bagi mengurangkan kes wabak denggi dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang risiko dan bahaya wabak denggi kepada seseorang individu.

Pegawai Kesihatan Daerah Pendang merangkap Ahli MDP Dr. Intan Melati, dalam sesi taklimatnya menyeru agar penduduk di ketiga-tiga zon sentiasa menitikberatkan kebersihan kawasan sekitar serta mengambil tahu aktiviti di kejiranan terbabit agar wabak denggi ini dapat dibendung.

“Gotong-royong ini bukan sahaja perlu bermula dan berakhir pada hari ini, namun perlu sentiasa diamalkan bagi memastikan kawasan kita sentiasa bersih dan terhindar daripada penularan wabak,” ujarnya, di sini semalam.

Bomba dan Penyelamat Daerah Pendang antara yang terlibat menjayakan program.

Bersemangat untuk menjayakan program ini, seramai 150 orang peserta daripada pelbagai agensi termasuk MDP, PKD Pendang, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Environment Idaman Cawangan Pendang, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Delima, KRT Taman Sri Mas, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Pendang, Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Pendang, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pendang, Pejabat Perpaduan Daerah Pendang serta Pejabat Penerangan Daerah Pendang turut hadir memulakan program seawal pukul 8.00 pagi.

Selain daripada aktiviti membersihkan kawasan, turut diadakan program kitar semula, pengumpulan minyak masak terpakai, aktiviti pengindahan kawasan rekreasi perumahan dan Kebun Komuniti serta Kempen Kedah Cashless.

-ZS-

Tinggalkan komen anda