Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Thaipusam: 1,306 Pegawai, Anggota Polis Kawal Keselamatan di Batu Caves

By 7 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak

GOMBAK, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 1,306 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di sekitar Batu Caves bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam, Selasa ini.

(Tengah) Hussein ketika lawatan dan tinjauan persiapan sambutan Thaipusam di Batu Caves semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, berkata mereka dari Bukit Aman, Kontinjen Selangor serta Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan berlangsung.

Katanya, bermula 8 Februari pukul 10.00 malam sehingga 14 Februari pukul 12.01 tengah malam beberapa jalan raya di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak akan ditutup.

“Hebahan penutupan jalan juga akan dibuat di papan iklan elektronik dari arah bulatan Batu Caves menghala ke Gombak bermula pada 8 Februari dan juga laman rasmi Facebook Polis Daerah Gombak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, jalan dan persimpangan yang akan ditutup adalah di lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Perusahaan ke kuil Batu Caves.

Seramai 1,306 pegawai dan anggota polis akan mengawal keselamatan serta kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam di Batu Caves.

“Turut ditutup susur MRR2 dari Sri Gombak ke susur perusahaan, simpang tiga Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8/Jalan Batu Caves Lama.

“Juga simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves (hadapan stesen minyak Shell) dan jalan susur Batu Caves bypass menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves,” katanya.

Hussein turut menasihatkan orang ramai menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis yang akan dikemaskini melalui platform media sosial Facebook Polis Daerah Gombak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda