
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Norlizan Misran (Johor Bahru)
ISKANDAR PUTERI, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 260 orang kakitangan dan pelajar Kolej Komuniti Bandar Penawar (KKBP) dan Kolej Komuniti Bandar Penawar Cawangan Gelang Patah (KKBPCGP) telah berganding bahu menjayakan Program Smart Green Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) ke Arah Kampus Lestari, di sini semalam.

Pelajar-pelajar dan warga kerja kolej komuniti berganding bahu memastikan persekitaran kampus yang bersih dan lestari menerusi aktiviti pengasingan sisa buangan dan penanaman pokok.
Pengarah KK Bandar Penawar Wan Ajrul Asward Wan Hashim, berkata program ini menekankan kepentingan peranan mahasiswa dalam melaksanakan aktiviti hijau secara berterusan selain memperkukuhkan kesedaran sivik dan amalan hijau dalam kalangan warga Kolej Komuniti (KK) serta masyarakat setempat.
“Program ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu langkah proaktif dalam memastikan kampus kita menjadi lebih lestari, menerapkan amalan hijau dalam kehidupan seharian dan menjadi contoh kepada masyarakat sebagai warga institusi pendidikan tinggi,” katanya.
Tambah Wan Ajrul, pada program ini peserta dibahagikan mengikut kumpulan untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong sekitar kawasan kolej secara serentak melibatkan KK Bandar Penawar dan cawangan di Gelang Patah.
“Ia melibatkan pembersihan kawasan hijau, pengasingan sisa buangan dan penanaman pokok sebagai simbol komitmen kepada kelestarian alam.
“Program ini berjaya mencapai objektifnya dengan penglibatan aktif warga kolej dalam usaha memperkasakan kesedaran ekologi dan menggalakkan amalan hijau dalam kehidupan seharian,“ katanya.
-ZS-