
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Norizu Ismail @ Muda (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Perpaduan adalah asas keharmonian negara dan ini jelas terbukti dalam sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Balai Raya, Taman Desa Jaya, Bukit Tunggal, di sini kelmarin.

Mohd Norizu Ismail bersama komuniti setempat menyambut perayaan dan dapat mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum.
Penyertaan masyarakat Melayu menjadikannya simbol muhibah dalam negara majmuk yang kaya dengan budaya.
Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Desa Jaya Mohd Norizu Ismail @ Muda, sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian singa, pertunjukan kebudayaan dan jamuan makan malam yang menyajikan hidangan tradisional dari pelbagai kaum.
“Sebagai simbol kemakmuran, para tetamu, kaum Melayu dan Cina, bersama-sama menghulurkan limau mandarin dan bertukar angpau dalam suasana yang penuh kegembiraan,” katanya.
Penduduk Taman Desa Jaya Shah Hura Sia, 65, menyatakan rasa gembiranya apabila melihat masyarakat yang bersifat terbuka dan saling menghargai tanpa mengira latar belakang kaum.

Shah Hura Sia (tengah) bertuah hidup dalam masyarakat yang bersifat terbuka dan saling menghargai tanpa mengira latar belakang.
“Tahun Baharu Cina bukan hanya perayaan masyarakat Cina tetapi juga satu peluang untuk semua berkumpul dan meraikan kepelbagaian budaya,” katanya
Selain itu, penduduk lain Lidi Yong, 21, turut mengulas bahawa sambutan sebegini memberi harapan agar semangat perpaduan dan keharmonian dalam komuniti terus terjalin dan menjadi teladan kepada masyarakat lain dalam memupuk hubungan baik sesama kaum.
“Acara ini jelas memperlihatkan betapa pentingnya perpaduan dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan budaya, yang saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana penuh keharmonian,” ujarnya.
-ZS-