
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
ARAU, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Negeri Perlis sinonim dengan menu makanan kampung, masakan utara seperti lauk gulai (kari), asam rebus dan tidak lupa juga Nasi Kandar Perlis.
Namun, kini di negeri paling utara Malaysia ini, di Kangar mahupun Arau punya menu masakan Borneo.

Nasi Aruk Ikan Terubuk menu istimewa
Bagi mereka yang berasal daripada Sarawak terutamanya, mungkin boleh mengubat kerinduan masakan cita rasa Sarawak dengan mencari beberapa buah kedai makan yang telah mula bertambah di negeri Perlis ini.
Antara lokasi yang mempunyai masakan dari Sarawak adalah di Gerai MPK Corner, Kangar atau di Nyamai Cafe yang terletak berhadapan Kedai Stesen Minyak Shell di Bulatan Persiaran Jubli Emas, Kangar.

Mee pok antara menu yang digemari ramai
Namun, bagi mereka yang tinggal di Kawasan Arau, ada satu lokasi lagi yang menyediakan menu Sarawak hasil masakan orang Sarawak sendiri iaitu kedai yang terletak di Hub Bas, KTMB Arau.
Menu masakan yang tersedia di Kedai Amoy Kopitiam adalah seperti Laksa Sarawak, Mee Kolok, Nasi Dabai Goreng, Nasi Aruk Terubok dan juga hidangan sampingan seperti wantan sup termasuk kek lapis Sarawak.
Menurut Siti Aisyah Setu, 36, yang berasal dari Sarawak menyatakan minat mendalam dalam masakan menjadikan beliau membuka kedai makanan borneo sekaligus masyarakat di negeri semenanjung di utara ini boleh merasai sendiri keenakan air tangan masakan orang Sarawak dan juga kelainan makanan di sini.
Beliau telah sembilan tahun berkecimpung dalam perniagaan masakan dengan memulakan perniagaan dari rumah.
“Sebelum ini, saya hanya buat menjual makanan Sarawak ini dari rumah sahaja, namun selepas menyertai satu karnival jualan makanan, saya ingin keluar dari kepompong selesa saya dan mencuba untuk membuka perniagaan kedai makan di sini,” ujar Siti yang ditemui petang semalam.
Salah seorang pelanggan tetapnya, mantan Pengarah KPDN Negeri Perlis, Norazah Jaapar yang kebetulan singgah makan di Kedai Amoy Kopitiam, berkata menu masakan di Kedai Amoy Kopitiam sama seperti berada di Sarawak.
Menurut pemilik Kedai Amoy Kopitiam antara menu yang paling digemari oleh pelanggan adalah seperti mee pok dan Nasi Aruk Terubok.
Antara bahan yang dibawa khas dari negeri Sarawak adalah seperti dabai dan ikan masin terubok bagi mengekalkan keaslian rasa dan keenakan masakan cita rasa Borneo.
-AA-