
Laporan/foto: Sharifah Fairuz Mohd Tahir (Kinabatangan)
KINABATANGAN, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Pengiktirafan Sukau sebagai daerah kecil oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2023 adalah satu pencapaian besar bagi masyarakat di kawasan tersebut.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan tersebut juga hasil kerja keras wakil rakyat terdahulu dan merupakan langkah penting yang membawa perubahan positif kepada masyarakat di sini.
“Usaha yang dimulakan oleh Datuk Saddi sejak tahun 2010 akhirnya membuahkan hasil dan hari ini, Sukau telah diiktiraf sebagai daerah kecil, yang merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna buat kita semua.

Datuk Saddi (kiri) bersama Datuk Nizam dalam Majlis Kesyukuran Daerah Kecil Sukau kemarin.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana memberi pengiktirafan kepada Sukau sebagai daerah kecil. Keputusan ini memberi peluang besar untuk pembangunan dan kemajuan daerah Sukau, termasuk peruntukan yang disediakan untuk pentadbiran dan pembangunan pejabat kecil daerah Sukau,” katanya ketika merasmikan Majlis Kesyukuran Daerah Kecil Sukau di sini kemarin.
Beliau menyeru warga daerah Kecil Sukau untuk menghargai dan mengingati jasa bakti para pemimpin yang telah bertanggungjawab membentuk pembangunan yang mapan ke daerah tersebut.
“Kita juga harus mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Nor, Ketua Menteri Sabah kerana beliau telah mengumumkan secara rasmi dan telah diputuskan di dalam mesyuarat Kabinet Negeri Sabah tentang pengiktirafan Sukau sebagai daerah kecil pada tahun 2023.
“Dan seterusnya kerajaan telah mengarahkan MOF untuk menyediakan peruntukan untuk pentadbiran dan pembangunan kepada pejabat kecil daerah Sukau,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Baru Sukau, Awang Sulaiman berharap, kerajaan negeri dan persekutuan dapat segera membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Kami berharap agar kerajaan negeri dan persekutuan dapat segera menyalurkan kemudahan infrastruktur untuk daerah kecil Sukau, mengikut ‘blueprint’ yang telah disediakan oleh Institute Development Studies (IDS),” ujarnya.

Antara tetamu yang hadir dalam majlis tersebut kemarin.
Majlis Kesyukuran tersebut turut dihadiri oleh kira-kira 300 orang penduduk kampung dan warga DUN Sukau yang turut menyaksikan penyampaian bantuan kepada 100 asnaf, persembahan nasyid dan qasidah, ceramah serta bacaan tahlil dan doa kesyukuran.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah mantan ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, mantan ADUN Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris serta wakil-wakil Badan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
-RJ-