
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip/Mohd Maqdi Bin Salleh (Tawau)
TAWAU, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 450 orang pemanah mengambil bahagian dalam Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan (KMTK) peringkat negeri Sabah yang berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau dari 15 hingga 16 Februari.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyatakan bahawa walaupun sukan memanah tradisional masih baharu di Malaysia khususnya di Sabah, ia berpotensi untuk menjadi antara sukan yang paling popular di negara ini.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden STARA dan jawatankuasa yang telah berjaya menganjurkan kejohanan ini dengan kerjasama daripada Klub Pemanah Tradisional Tawau (PERMATA).
“Kejohanan ini bertujuan untuk memilih pemanah-pemanah terbaik Sabah yang akan mewakili negeri ini di kejohanan kebangsaan di Melaka pada Mei nanti,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan (KMTK) peringkat negeri Sabah di sini kemarin.

Nizam ketika menyempurnakan gimik perasmian Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan (KMTK) peringkat negeri Sabah di sini kemarin.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Nizam berharap agar lebih ramai pemanah tradisional dapat digilap, dengan sukan ini semakin mendapat perhatian pelbagai lapisan umur, baik daripada kalangan remaja mahupun dewasa.
“Saya sebagai pemimpin di Tawau amat menyokong segala usaha yang diambil oleh Persatuan Memanah Sabah untuk memperkenalkan dan mempromosikan sukan ini. Saya berharap suatu hari nanti sukan memanah tradisional ini akan diiktiraf sebagai salah satu sukan rasmi di Malaysia, khususnya di Sabah.
“Sebagai penasihat dan penaung untuk kelab PERMATA Tawau, saya memberi sokongan penuh terhadap sukan memanah tradisional ini. Saya bertekad untuk terus membantu dan memberi sokongan kepada kelab-kelab memanah di Tawau agar sukan ini terus berkembang dan mendapat perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.
Mengulas pengumuman Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin terhadap pemilihan Tawau sebagai tuan rumah Sukan Sabah 2025, beliau percaya kejohanan tersebut akan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi, sosial, dan keupayaan Tawau untuk melahirkan atlet berkualiti.
“Ini adalah peluang besar bagi masyarakat Tawau untuk meraih manfaat dari segi ekonomi, sosial, dan kebolehan wakil-wakil Tawau untuk mencipta kejayaan.
“Kehadiran atlet dari seluruh negeri Sabah juga akan memberi limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan seperti peniaga, e-hailing, homestay, dan penginapan hotel,” katanya.

Suasana ketika kejohanan memanah berlangsung kemarin.
Sementara itu, Presiden Persatuan Memanah Tradisional Sabah (STARA), Mahatir Mohd Kamal, berkata kejohanan ini adalah proses pemilihan untuk memilih pemanah terbaik yang akan mewakili negeri Sabah pada kejohanan peringkat kebangsaan yang bakal diadakan pada bulan Mei depan.
“Kejohanan ini dilaksanakan mengikut format Liga Memanah Tradisional Kebangsaan (LMTK) dengan kategori panahan yang terdiri daripada jarak jauh dan dekat (descending shooting). Kategori lelaki akan melalui cabaran jarak 60, 50, 40 dan 30 meter, manakala kategori wanita akan melalui cabaran jarak 50, 40, 30 dan 20 meter,” katanya.
-RJ-