
Laporan/foto: Malina Jamarin / Mohd Fadzlee Hj Ibrah (Tuaran)
TUARAN, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Imam Rawatib dan Kariah di kawasan Tamparuli dan Kiulu menerima sumbangan jubah sebagai simbol penghormatan dan memperkukuh identiti serta peranan mereka dalam masyarakat.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Noordin Jahim, bukan sekadar memenuhi tuntutan berpakaian sopan, pemakaian jubah katanya adalah lambang keperibadian yang unggul bagi seseorang imam.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, beliau percaya peamakain jubah juga mencerminkan nilai amanah dan tanggungjawab yang perlu dijunjung oleh mereka yang menggalas peranan sebagai pemimpin agama.

Jahid (songkok hitam, baju biru gelap dan Ustaz Suffian (baju biru muda ) bergambar bersama para penerima jubah pada majlis itu kemarin.
“Kepentingan pemakaian jubah bukan hanya terletak pada aspek keseragaman, tetapi juga sebagai simbol penghormatan terhadap tugas yang diamanahkan kepada seseorang imam.
“Ia melambangkan kewibawaan, ketokohan, dan disiplin yang tinggi dalam menjalankan amanah yang diberikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Jubah Imam-Imam Daerah Kecil Tamparuli dan Kiulu di sini kemarin.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tamparuli, Ustaz Suffian Kundu, 49, menjelaskan, inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan keseragaman pakaian dalam kalangan imam selain meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap peranan mereka.
“Selain aspek keseragaman, imej dan penampilan yang lebih kemas serta profesional amat penting bagi seorang imam. Ini bukan sahaja memberikan keyakinan kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat yang dipimpin.
“Kita berharap dengan adanya sedikit sumbangan ini, para imam lebih memahami betapa pentingnya menjaga penampilan yang sesuai khasnya ketika berada dalam masjid atau surau. Imej seorang imam perlu mencerminkan sifat kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti,” tambahnya.

Imam Shariansah Ottoh – Imam Kariah Kampung Sg. Damit.
Dalam pada itu, salah seorang penerima, Imam Shariansah Ottoh, 33, menyifatkan pemberian ini sebagai satu penghargaan yang amat bermakna bagi mereka yang mengabdikan diri dalam tugas keagamaan.
“Bukan hanya sekadar pakaian, tetapi jubah ini menjadi peringatan kepada kami tentang amanah dan tanggungjawab yang digalas sebagai imam. Ia juga satu dorongan untuk kami menjalankan tugas dengan lebih baik dan penuh dedikasi,” katanya.
Untuk makluman, majlis yang berlangsung secara sederhana di Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli ini telah menyaksikan penyerahan salinan jubah kepada seramai 17 orang imam Rawatib dan Kariah yang berkhidmat kepada institusi masjid berkaitan.
-RJ-