Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Sultan Pahang Berkenan Rasmi Kilang Peluru

By 7 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Emran Ismail/Fadzli Ahmed

LIPIS, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli merasmikan kilang peluru automasi tinggi pertama di Malaysia milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia), di sini semalam.

Kilang dengan keluasan 40.5 hektar terbabit telah dibangunkan sejak 2022 di atas tanah yang diberikan pajakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) tinggi dan mampu menghasilkan 60 juta butir peluru setahun, termasuk peluru bersaiz 9mm dan 5.56mm.

Baginda Tuanku berkenan melihat peluru yang telah dihasilkan oleh Kilang Ketech Asia Sdn Bhd.

“Objektif kilang ini adalah untuk mengeluarkan produk yang boleh dihasil di sini dan dijual di tempatan dan juga dijual ke antarabangsa,” titah baginda.

Dengan pelaburan melebihi RM100 juta sebanyak 70 peratus tenaga kerja kilang ini terdiri daripada anak tempatan, dengan seramai 15 lulusan kejuruteraan telah dihantar ke Turki untuk latihan khusus.

Setakat ini sekitar 140 orang terdiri daripada penduduk tempatan telah mula bertugas di kilang ini.

Pengoperasian kilang ini dijangka mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import peluru dan meningkatkan daya saing industri pertahanan negara.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak sebagai wakil Rasmi Menteri Besar Pahang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda