Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Sultan Terengganu Lancar Buku Eksklusif Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands

By 11 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini

KUALA TERENGGANU, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, mencemar duli melancarkan buku eksklusif Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands, sebuah penerbitan mewah oleh WWF-Malaysia dan CIMB Islamic Bank Berhad, dalam satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah melancarkan Buku Mewah Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands di sebuah hotel di Kuala Terengganu

Presiden WWF-Malaysia YAM Tunku Ali Redhauddin ibni Tunku Muhriz dalam ucapannya, menegaskan bahawa penerbitan buku ini adalah satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan Setiu Wetlands sebagai destinasi ekopelancongan dan warisan alam.

“Buku ini mengetengahkan keindahan luar biasa dan keunikan Setiu Wetlands melalui koleksi gambar memukau serta fakta menarik yang diperoleh daripada kajian mendalam, kerja lapangan, dan interaksi bersama masyarakat tempatan, sekali gus menonjolkan ekosistem istimewa ini sebagai permata ekologi Terengganu dan aset alam semula jadi yang perlu dipelihara.

“Buku ini bukan sekadar sebuah dokumentasi keindahan Setiu Wetlands tetapi juga simbol penghargaan kepada masyarakat tempatan yang memainkan peranan utama dalam usaha pemuliharaan,” ucapnya.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat di Majlis Pelancaran Buku Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Ahmad Shahriman Mohd Shariff, turut berkongsi komitmen CIMB Islamic dalam memelihara kelestarian alam sekitar terutamanya melalui kerjasama dengan WWF-Malaysia sejak 2019.

“Kami percaya bahawa usaha pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem Setiu Wetlands amat penting bukan sahaja untuk alam sekitar tetapi juga bagi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Buku Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands kini boleh dimuat turun secara percuma di laman web rasmi WWF-Malaysia di wwf.org.my, membolehkan orang ramai lebih memahami dan menghargai khazanah alam yang tidak ternilai ini serta diharapkan dapat menyemarakkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan Setiu Wetlands sebagai legasi untuk generasi akan datang.

-AA-

Tinggalkan komen anda