
Laporan/foto: Lina Shukri/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Program Relaksasi Diri anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan (KSKK) Jabatan Penerangan Negeri Perak dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang berlangsung di Taman Eco Rimba Kledang Saiyong, di sini semalam memberi pendedahan kepada para peserta tentang kesihatan mental.

Salina (kanan) ketika aktiviti berkumpulan.
Menurut penyelaras program yang juga Biro Sukan dan Rekreasi KSKK Syamahzatulliza Samad, program yang melibatkan seramai 30 peserta ini bertujuan untuk membina ketahanan diri di samping melahirkan pekerja yang lebih positif dan berkualiti.
“Pelbagai aktiviti kreatif dan interaktif telah disusun sepanjang program ini antaranya terapi seni ekspresif, teknik relaksasi, mindful walking dan meditasi kasih sayang.
“Selain meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan mental, ia juga dapat memupuk nilai-nilai murni seperti empati, kreativiti dan semangat kerjasama sekali gus menyokong usaha ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan jabatan,” katanya.

Sesi bergambar seusai program.
Sementara itu, salah seorang peserta Salina Sabi’is, 43, meluahkan rasa gembira kerana dapat menyertai program ini.
“Menerusi program ini saya dapat belajar teknik-teknik kesedaran minda untuk menguruskan tekanan dan emosi dengan baik.
“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada organisasi secara keseluruhan,” ujarnya.
-ZS-