
Laporan/foto: Wan Izati (Bagan Datuk)/Mohammad Ezwandi (Perak)
HUTAN MELINTANG, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang menerima kejutan istimewa sempena kunjungan pasukan Persembahan Pentas Melalui Nyanyian, Tarian dan Drama (PENTARAMA) dalam Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku yang berlangsung di sekolah berkenaan di sini, kelmarin.

Pelajar diuji kefahaman tentang negara melalui aktiviti kuiz kenegaraan
Program yang disampaikan secara santai dan menarik bertujuan untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan hiburan yang bersifat mendidik.
Pelbagai aktiviti disediakan antaranya kuiz kenegaraan, peragaan pakaian etnik dan permainan puzzle bertemakan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

PENTARAMA dan pelajar merakamkan kenangan bersama setelah selesai program
Salah seorang guru yang ditemui, Amirah Husna Kamal Mokhtar, berkata kehadiran PENTARAMA bukan sahaja menghiburkan malah berjaya menyampaikan mesej kenegaraan dan keselamatan digital secara berkesan.
“Program seumpama ini wajar diperluaskan ke semua sekolah agar nilai murni dan semangat patriotik dapat dipupuk dalam kalangan pelajar, seterusnya melahirkan warganegara yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Seorang pelajar Ratneesh Reddy Ramesh, 17, turut meluahkan keterujaannya menyertai program ini.
“Program ini menaikkan semangat patriotisme saya. Kita harus berbangga menjadi rakyat Malaysia dan menterjemahkan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam kehidupan harian,” katanya.
Selain itu, para pelajar turut diberikan pededahan mengenai pengendalian penggunaan internet dengan lebih selamat melalui taklimat Kempen Keselamatan Internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
-AA-





