
Laporan/foto : Christi Lemon (SARAWAK)
BAU, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Adat dan budaya peninggalan leluhur sesuatu kaum atau masyarakat pasti semakin dilupakan jika tidak ditonjol semula dan didokumentasikan dari semasa ke semasa.
Masyarakat Bidayuh di Sarawak turut tidak terkecuali melihat kepada banyaknya amalan tradisional semakin tidak diketahui dan menyedari situasi tersebut, generasi baharu Bidayuh Singai merasakan mereka bertanggungjawab untuk melestarikan adat dan amalan generasi terdahulu.

Norsyahrul (kanan) bersama Edid Ngupel (kiri) ketika menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Permainan Tradisional Bidayuh Singai.
Lantaran itu, Persatuan Pewaris Adat Asal Singai (PA’AS) dan penduduk Kampung Barieng bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak menganjurkan Bengkel Permainan Tradisional Bidayuh Singai di Rumah Panjang Kampung Barieng, kelmarin.
“Permainan tradisional merupakan satu aspek penting dalam kebudayaan sesebuah komuniti, bukan sekadar aktiviti hiburan rakyat atau untuk tatapan semata-mata.
“Aktiviti seperti ini juga sebagai aktiviti jalinan persaudaraan, interaksi dan warisan nenek moyang yang perlu dihidup dan dikongsikan kepada semua pihak,” Timbalan Pengarah JKKN Sarawak Norsyahrul Syafsaidina Ismail berkata demikian ketika merasmikan bengkel tersebut.

Masan sejenis permainan menggunakan biji jagung.
Beliau menambah, penganjuran bengkel tersebut memberi peluang kepada generasi muda untuk terus menyelami budaya mereka sendiri memandangkan kebudayaan adalah cerminan kepada bangsa dan jati diri yang menjadi simbol kekuatan bagi identiti sesuatu kaum di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi PA’AS Edid Ngupel berkata bengkel permainan tradisional yang memfokuskan permainan asal kawasan Singai itu bertujuan memperkenalkan semula permainan tersebut kepada pewaris generasi muda mereka supaya pengetahuan berkaitan tidak terus dilupakan pada masa hadapan.
“Perlu untuk mereka pewaris adat asal nenek moyang memahami nilai sejarah, sosial dan budaya di sebalik setiap permainan tradisional yang diketengahkan dalam bengkel ini agar semua itu tak lekang dek zaman,” tambah Edid.

Bengkel Permainan Tradisional Bidayuh Singai di Rumah Panjang Kampung Barieng, kelmarin.
Bengkel yang dihadiri seramai 60 peserta sekitar kawasan Singai mempertontonkan beberapa jenis permainan tradisional yang pernah dimainkan nenek-moyang mereka di Gunung Singai yang merupakan penempatan awal masyarakat tersebut suatu ketika dahulu.
Permainan tradisional masyarakat Bidayuh Singai seperti Nyipuot (menyumpit), Motik (melastik), Sirotuong (mainan buluh), Sotu (meriam buluh), Takok, Kosang, Main Lew, Main Joruok, Main Gol dan beberapa permainan lain diberikan taklimat pengenalan, demostrasi dan latihan amali atau praktikal kepada setiap peserta.

Lender, anak jati dan generasi baharu Bidayuh Singai sertai bengkel untuk mengenali lebih lanjut permainan tradisional masyarakatnya.
“Kagum dan terpesona, itu yang dapat saya katakan melihat kepada beberapa permainan di sini kerana sesetengahnya tidak diketahui oleh saya sendiri walaupun sebagai anak jati Singai.
“Motik, melastik dan Sotu, meriam buluh itu kebiasaan bagi saya namun Main Lew dan Main Juruok pula kali pertama saya mengetahuinya,” menurut Lender Bong, salah seorang generasi baharu Singai berusia 37 tahun yang juga peserta bengkel.
Bengkel Permainan Tradisional Bidayuh Singai yang disertai seramai 60 peserta merupakan salah satu daripada beberapa siri program yang telah dilaksanakan dan beberapa inisiatif lain akan diteruskan dari semasa ke semasa bertujuan memartabatkan adat, budaya dan tradisi Bidayuh Singai.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Panjang Barieng Jaing Jiket dan Ketua Kampung Peros, Krokong Sata Najoi.
-RJ-





