Skip to main content
Berita TempatanSabah

Dapur Kita-Kita: Santuni Golongan Rentan Dengan Makanan Percuma

By 20 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/ Jakiyah Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Prihatin terhadap nasib mereka yang terpinggir dan serba kekurangan telah mendorong penubuhan Persatuan Dapur Kita-Kita.

Organisasi yang bertapak di Kota Kinabalu itu kini komited menyediakan makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan sejak Disember 2024.

Suasana rakaman temubual Influencer@JAPEN Sabah pada Jumaat.

Persatuan berkenaan mengagihkan lebih 200 pek makanan tengah hari kepada sesiapa sahaja yang datang ke teratak Dapur Kita-Kita tanpa mengira latar belakang, agama mahupun bangsa pada setiap hari Isnin hingga Sabtu, kecuali cuti umum.

Pengerusi persatuan, Datuk Koh Chung Jade berkata inisiatif itu lahir daripada rasa prihatin terhadap kelompok yang bergelut dengan kesukaran hidup, termasuk gelandangan, warga emas, ibu tunggal dan pekerja harian.

“Kalau ada yang datang minta makan, kami bagi saja. Sebab setiap orang punyai cerita dan kisah masing-masing.

“Kadang-kadang mereka bukan datang sebab lapar saja. Mereka hanya perlu tempat rasa selamat. Ada orang menangis sambil makan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Influencer@JAPEN. di sini pada Jumaat.

Datuk Jade menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, JAPEN Sabah, Puan Geraldine Voo.

Beliau turut berkongsi kisah menyentuh hati seorang warga emas yang sanggup berjalan kaki selama sejam dari kawasan Singgah Mata semata-mata mahu membawa pulang makanan untuk isterinya yang terlantar sakit.

“Dia datang bawa bekas sendiri. Katanya, isteri tak boleh makan makanan luar sangat, jadi dia mahu bawa balik makanan dari sini. Kami beri lebih, supaya cukup untuk makan malam juga,” kongsinya.

Jelasnya, meskipun berdepan kekangan sumber dan dana, persatuan itu tetap komited meneruskan operasi hasil sumbangan orang ramai serta semangat gotong-royong para sukarelawan.

Datuk Jade (empat dari kanan) dan Timbalan Presiden Dapur Kita-Kita, Victor Lim Wai Seng merakam gambar bersama Geraldine (tiga dari kanan) dan krew Influencer@JAPEN..

“Kami mulakan kecil-kecilan saja. Tapi bila nampak keperluan itu besar, kami teruskan, sebab kami tahu, bagi sesetengah orang, ini saja yang mereka harapkan. Yang penting bukan jumlah, tapi keikhlasan kita bantu golongan berkenaan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru lebih banyak pihak tampil membantu dalam bentuk sumbangan bahan mentah, kewangan mahupun tenaga kerja sukarela bagi memastikan kesinambungan usaha tersebut demi kesejahteraan bersama.

-RJ-

Tinggalkan komen anda