
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/ Jakiyah Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Keprihatinan terhadap nasib golongan kurang berkemampuan menjadi pendorong buat segelintir indvidu tampil sebagai sukarelawan kebajikan.

Sidratur Rahmatiyah ketika menjalankan tugas sebagai sukarelawan di pusat pengagihan makanan Dapur Kita-Kita.
Bernaung di bawah Persatuan Dapur Kita-Kita, sekelompok sukarelawan bertugas tanpa mengenal penat lelah menyediakan makanan percuma kepada golongan yang memerlukan.
Salah seorang sukarelawan, Sidratur Rahmatiyah Badwy, 39, berkata beliau mula menyumbang tenaga sejak dapur komuniti tersebut ditubuhkan pada Disember tahun lalu.
“Saya tidak bekerja Isnin sampai Jumaat. Sabtu dengan Ahad saya bertugas di Jabatan sukarelawan Malaysia (RELA). Jadi Isnin sampai Jumaat saya datang di sini untuk membantu mereka menyediakan makanan.

Timbalan Presiden Dapur Kita-Kita, Victor Lim Wai Seng, ketika menyediakan masakan untuk agihan.
“Saya tengok macam-macam orang datang ambil makanan, golongan mereka yang kurang berkemampuan. Kebanyakan yang saya nampak, mereka menyewa bilik,” katanya ketika ditemui di Dapur Kita-Kita di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, sedar pentingnya peranan persatuan tersebut kepada masyarakat, beliau menyeru agar lebih ramai lagi yang turun padang untuk menyumbang tenaga menjayakan program kebajikan berkenaan.
“Bagi yang tidak bekerja atau suri rumah, boleh sertai Dapur Kita-Kita. Di sini tiada bayaran. Semuanya bergantung pada keikhlasan hati. Pengalaman bersama Dapur Kita-Kita memberikan kepuasan tersendiri kerana dapat menyantuni mereka yang sangat memerlukan.

Muhammad Ryan Abdullah, penerima bantuan makanan, ketika ditemui di Dapur Kita-Kita.
Sementara itu, seorang penerima bantuan makanan, Muhammad Ryan Abdullah, 34, berkata beliau amat menghargai usaha murni Dapur Kita-Kita yang sangat membantu golongan sepertinya yang sedang berdepan kesukaran hidup.
“Saya sudah lima hari mencari kerja di Kota Kinabalu, namun masih belum ada rezeki. Baru dua hari lepas saya tahu mengenai tempat ini dan mula datang ke sini untuk mendapatkan makanan.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Dapur Kita-Kita kerana menyediakan makanan percuma kepada golongan susah seperti saya,” katanya.
Untuk makluman, Dapur Kita-Kita beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dengan menyediakan lebih 200 pek makanan tengah hari secara percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang.
-RJ-





