
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Usaha memupuk kesedaran keselamatan siber dalam kalangan generasi muda terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Apas, Tawau.

Sandy ketika merasmikan Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku di SMK Jalan Apas pada Sabtu.
Program anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pusat Ekonomi Digital (NADI) itu memberi penekanan terhadap pendidikan digital dan tanggungjawab dalam penggunaan teknologi, khususnya melalui pelaksanaan Kempen Internet Selamat.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Sandy Kahar Kaharuddin berkata kemahiran mengendalikan teknologi digital perlu seiring dengan nilai etika dan tanggungjawab dalam penggunaan internet.
“Kita perlu membentuk generasi celik digital yang bukan sahaja bijak menggunakan teknologi, tetapi juga beretika dan bertanggungjawab dalam dunia siber.
“Pendedahan awal kepada keselamatan digital mampu membentuk sahsiah pelajar agar lebih peka terhadap cabaran di alam siber, sekali gus menjadikan mereka pengguna teknologi yang bertanggungjawab,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini pada Sabtu.

Pelajar menyertai sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang membincangkan isu keselamatan siber dan penggunaan internet secara berhemah.
Program turut diisi aktiviti latihan dalam kumpulan serta kuiz kenegaraan melalui platform Kahoot bagi menguji kefahaman peserta di samping menyemai semangat cintakan negara dalam suasana interaktif dan menyeronokkan.
Kemuncak program menyaksikan penyerahan poster Kempen Internet Selamat kepada Ikon Kapten K-Dat, sebagai simbolik komitmen membudayakan penggunaan internet secara selamat dalam kalangan pelajar.
Selain itu Kempen Kibar Jalur Gemilang juga disemarakkan dalam kalangan peserta bagi menyuntik semangat patriotik dalam kalangan generasi belia serta komuniti setempat.
Hadir sama memberi sokongan ialah Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abd Azis dan Pegawai SKMM Tawau, Aminah Aming.
-RJ-





