Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pasar Malam Matu Lokasi Sumber Rezeki Penduduk Tempatan

By 29 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Haffis Seria (Sarawak)

MATU, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Pasar Malam Matu terus menjadi nadi ekonomi setempat apabila ia muncul sebagai salah satu lokasi sumber rezeki utama bagi penduduk Matu dan kawasan sekitarnya, termasuk dari Daro, Igan dan kampung-kampung berhampiran.

Azmi setia berniaga selama 25 tahun di Pasar Malam Matu.

Beroperasi setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 4 petang, pasar malam ini bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai juadah makanan, barangan harian dan hasil tani, malah turut berperanan sebagai medan keusahawanan bagi peniaga kecil dan sederhana yang bergantung kepada hasil jualan di pasar tersebut.

Menurut Azmi Joni, 66, pesara tentera yang berniaga cincin dan permata, hasil jualan pada setiap hujung minggu amat menguntungkan sepanjang 25 tahun beliau berkecimpung dengan perniagaan tersebut.

“Setiap minggu sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan kerana hasil jualan saya kadang-kadang boleh mencecah sekitar RM10,000 sebulan,” kata beliau lagi ketika ditemui kelmarin.

Tambah Azmi yang berasal dari Kampung Masjid Daro, peniaga dari luar Matu seperti Daro, Semop, Tanjung Manis dan beberapa kawasan lain turut tertarik untuk berniaga di pasar malam ini.

Kehadiran peniaga luar tersebut pula mempelbagaikan produk yang ditawarkan, termasuk makanan tradisional seperti kompia, apam balik, sate dan ayam bakar.

Kepelbagaian barang jualan pastinya menarik lebih ramai kehadiran pengunjung luar yang turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat sehinggakan kedai-kedai runcit dan peniaga makanan di sekitar Pekan Matu menerima limpahan pelanggan, terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Namun apa yang lebih istimewa lagi adalah Pasar Malam Matu bukan sahaja menjadi sumber rezeki kepada para peniaga, malah turut berfungsi sebagai platform memperkukuh hubungan sosial antara penduduk pelbagai kaum serta memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia luar bandar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda