Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Jeti Kuala Besar Nadi Penghubung, Penduduk Mahu Kemudahan Lebih Baik

By 17 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Shahilawati

KOTA BHARU, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Meskipun bersaiz kecil dan serba kekurangan dari segi kemudahan asas, Jeti Kuala Besar terus menjadi nadi penghubung penting bagi ratusan penduduk yang mendiami kawasan pulau di delta Sungai Kelantan untuk ke tanah besar.

Tinjauan Malaysia Aktif mendapati lebih 20 buah bot penambang masih beroperasi di jeti ini bagi mengangkut penduduk dari kampung Pulau Tongkang, Pulau Suri, Pulau Haji Nik Mat dan Teluk Renjuna ke Kota Bharu setiap hari.

Hassan Bakar pengusaha bot Jeti Kuala Besar.

Jeti ini bukan sahaja digunakan untuk urusan harian ke sekolah atau bandar, malah berfungsi sebagai laluan utama bagi sektor pelancongan, terutama pada hujung minggu.

Menurut seorang pengusaha bot, Hassan Bakar, 61, jeti tersebut memerlukan penaiktarafan segera bagi menampung keperluan penduduk dan pelancong yang semakin meningkat, khususnya pada hari Jumaat dan Sabtu.

“Jeti ini sesak bila tiba hujung minggu kerana ramai pelancong naik bot ke pasar terapung Pulau Suri dan Pulau Sri Tanjung. Kami perlukan jeti yang lebih besar dan selesa,” katanya sambil menambah bahawa jeti alternatif seperti Jeti Pulau Pisang tidak sesuai kerana ia hanya dibuka kepada pelancong dan beroperasi dua hari seminggu.

Hanafi Yaacob, setiap hari berulang alik menaiki bot ke Jeti Kuala Besar untuk urusan seharian.

Isu sama turut dikongsi penduduk Kampung Pulau Haji Nik Mat, Hanafi Yaacob, 42, yang menyuarakan keprihatinan terhadap tahap keselamatan dan keselesaan pengguna, khususnya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Sudah tiba masa jeti ini dinaik taraf dengan struktur konkrit. Golongan OKU yang guna kerusi roda sangat susah nak naik atau turun bot. Sekarang ini, mereka terpaksa diusung,” ujarnya.

Walaupun terdapat beberapa jeti lain di sekitar kawasan tersebut, Jeti Kuala Besar terus menjadi pilihan utama penduduk kerana lokasinya yang paling hampir dengan pusat bandar Kota Bharu.

Keadaan itu sekali lagi menguatkan keperluan agar pihak berkuasa mengambil serius cadangan penaiktarafan infrastruktur demi kebajikan masyarakat pulau.

Penduduk dan pengusaha bot berharap suara mereka akan mendapat perhatian pihak berwajib agar akses ke tanah besar menjadi lebih selesa, selamat dan inklusif untuk semua.

-RI

Tinggalkan komen anda