
Laporan/foto: Khairul Azad (Labuan)/BKVS JAPEN
LABUAN, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Sikap ‘kau-kau, aku-aku’ atau sikap memisahkan peranan dan tanggungjawab antara satu sama lain tidak lagi diguna pakai di Wilayah Persekutuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa sikap itu perlu diganti dengan semangat kerjasama yang menyeluruh dan inklusif.

Zaliha (dua dari kanan) menyampaikan hadiah utama sebuah motorsikal kepada pengunjung BFF 2025 yang ke 100 ribu
“Semua agensi perlu berganding bahu, berkongsi sumber dan bergerak bersama, yang mungkin ada kelebihan dari segi kepakaran dan kewangannya perlulah menyokong yang memerlukan seperti Labuan, kerana ini adalah prinsip Wilayah Persekutuan kita.
“Kita mahu Labuan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya semasa merasmikan penutupan Borneo Flora Festival (BFF) 2025, di sini semalam.
Mengulas mengenai BFF 2025, Zaliha menzahirkan rasa syukur dengan sambutan di luar dugaan terhadap acara itu walaupun mendapat kritikan sesetengah pihak pada peringkat awal.

BFF 2025 telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah
“Pada hari pertama sahaja lebih 37,000 pengunjung dan saya nak umumkan jumlah kehadiran keseluruhan setakat jam 2 petang tadi adalah 104,543 pengunjung, melepasi 100 peratus sasaran awal.
“Yang hadir ini bukan hanya orang Labuan, bahkan dari negeri dan negara jiran seperti Sabah, Sarawak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan serta Brunei, Indonesia dan Timor Leste.
Tambahnya, BFF turut membawa limpahan ekonomi untuk Labuan seperti sektor perniagaan, perhotelan, inap desa dan peningkatan jumlah pengunjung ke tempat-tempat menarik di sekitar Labuan.
-AA-





