
Laporan/foto: Suraya Baharudin (Kota Setar)
SEBERANG KOTA, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi Komuniti MADANI (Kemasyarakatan) Kubang Rotan Zon C yang berlangsung di Perkarangan Masjid Al-Maarufi, di sini meriah dengan kehadiran penceramah selebriti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don.

Tetamu jemputan yang hadir bergambar bersama Ustaz Don.
Program yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat itu adalah inisiatif signifikan bagi menyemai semangat kebersamaan serta membudayakan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Ia memberi penekanan kepada elemen kemasyarakatan, kerohanian dan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
“Program ini dianjurkan dengan kerjasama erat daripada ahli jawatankuasa masjid agar program ini berjalan dengan lancar dan berjaya,” kata Timbalan Ketua Komuniti Ustaz Muhammad Hazamer Muslim ketika ditemui, semalam.
Kehadiran Ustaz Don yang menyampaikan ceramah agama, berkongsi ilmu dan nasihat berguna menyemarakkan lagi semangat komuniti untuk terus mendalami ilmu agama dalam suasana santai, mesra dan penuh keinsafan.

Sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat menyerlahkan kesatuan komuniti dalam menjayakan program.
Kemeriahan program turut diserikan dengan aktiviti memasak bubur asyura secara gotong-royong melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Selain mengeratkan silaturahim, ia pada masa turut menghidupkan kembali tradisi warisan yang kian dilupakan oleh generasi masa kini.
Beberapa agensi kerajaan turut mengambil bahagian dengan membuka kaunter maklumat dan perkhidmatan kepada orang ramai.
-RI






