Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Semangat Hari Malaysia: Kembara 1800km Rentasi Borneo Disambut Mesra Rakyat Tempatan

By 22 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Iswandy Kassim (JAPEN Sri Aman) 

SRI AMAN, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Di sebalik cabaran fizikal meredah cuaca panas terik dan laluan berbukit, semangat tiga pengembara yang berjalan kaki sejauh 1800 kilometer merentasi Borneo terus membara, dihangatkan oleh sokongan padu dan kemesraan masyarakat tempat

Ekspedisi Kembara Berjalan Kaki Rentas Borneo Sempena Hari Malaysia 2025 disertai trio yang hanya dikenali melalui media sosial sebagai Coach Lie, Mohd Alnizam dan Augustine kini telah memasuki hari ke-15 perjalanan.

Nursarah dan Sapiee (dua kanan, bertopi krim) bersama trio ekspedisi di kali Bukit Begunan

Mereka bertiga memulakan misi patriotik mereka pada 7 Julai lalu dari Titik 0 KM Telok Melano, Sarawak, dengan matlamat untuk tiba di 0 KM Kota Kinabalu, Sabah, tepat pada Hari Malaysia, 16 September 2025.

Bagi pasangan Sapiee Deni, 59 dan Nursarah Sandra, 49, mereka melihat misi itu sebagai amat berjiwa patriotik dan berkesempatan menghulurkan makanan ringan termasuk air minuman ketika bertemu trio tersebut di kaki Bukit Begunan, pada Ahad.

“Kami sebenarnya dalam perjalanan pulang dari Betong apabila ternampak kelibat mereka dari jauh dan mereka kelihatan keletihan berjalan di bawah panas terik.

“Kami rasa terpanggil untuk berhenti dan memberikan sedikit sokongan kerana apa yang mereka lakukan iaitu berjalan sejauh itu bertujuan menyemarakkan Semangat Hari Malaysia, suatu yang membanggakan,” ujar Sapiee.

Semangat yang ditunjukkan peserta ekspedisi tersebut harus diberikan sokongan oleh semua pihak memandangkan ekspedisi berjalan kaki dari penghujung Sarawak ke penghujung Sabah adalah satu cabaran yang memerlukan kekentalan mental dan jiwa berpaksikan semangat patriotik yang menebal pada peserta ekspedisi.

“Semangat sebegitu sungguh luar biasa, kerana itu kami berikan sokongan padu kepada mereka untuk menamatkan misi dengan berjaya dan selamat,” tambah Nursarah.

Sokongan kepada peserta ekspedisi dalam bentuk sumbangan makanan dan minuman.

Bukan mereka berdua sahaja yang memberikan sokongan padu malah individu yang hanya dikenali sebagai Abang Ajai turut menjemput peserta ekspedisi tersebut untuk bermalam di rumahnya.

Semalam, mereka bertiga meneruskan perjalanan dari Kampung Melugu Kuari A menuju ke Klassen, Batu Lintang, Undop, membawa bersama semangat Hari Malaysia ke destinasi seterusnya.

Ekspedisi Kembara Berjalan Kaki Rentas Borneo Sempena Hari Malaysia yang bertemakan “Usia hanya angka, kesihatan adalah perjuangan, perpaduan adalah kekuatan, Malaysia adalah rumah kita bersama” wajar diberikan sokongan dan bantuan oleh mana-mana pihak di setiap destinasi persinggahan bertujuan bersama menyemarakkan lagi Semangat Hari Malaysia.

-RJ-

Tinggalkan komen anda