
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Kisah keberanian kaum minoriti Orang Asli dalam memperjuangkan kemerdekaan negara berjaya menawan hati juri seterusnya mengangkat nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Choh sebagai juara Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Negeri Selangor.

Norhafiza (empat dari kiri) bersama Kumpulan Nadi Harmoni SMK Sungai Choh, ibu bapa pelajar dan Amer, PPD Hulu Selangor terharu dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Negeri Selangor.
Lebih istimewa, watak-watak perwira Senoi Praaq dihidupkan bukan sahaja melalui penceritaan yang menyentuh hati, tetapi juga melalui busana tradisional Orang Asli yang memikat perhatian penonton dan juri yang berlangsung di SMK Seksyen 16, di sini semalam.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku sekolah Norhafiza Md Ngisum, berkata idea mengenai pengisahan hari ini lahir daripada cetusan idea peserta sendiri, dengan sokongan ibu bapa serta dua lagi guru Kelab Malaysiaku Shazida Shakri dan Norashima Mat Setaman.
“Alhamdulillah, kami sangat terkejut dan bersyukur kerana saingan hari ini sangat sengit, tetapi kami percaya inilah rezeki hasil kerja keras semua,” ujarnya.
Menurutnya, pengisahan ini bukan sekadar pertandingan, malah satu usaha untuk menyedarkan generasi muda mengenai jasa perwira dari kaum minoriti yang juga merupakan pejuang kemerdekaan negara.

Kemeriahan Pentas akhir Pertandingan Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di SMK Seksyen 16, Shah Alam.
“Kami akan bertungkus lumus dan memperbaiki lagi persembahan kami dan berharap kisah Senoi Praaq ini berjaya memikat hati juri ke Pertandingan Pengisahan Kenegaraan di peringkat Kebangsaan nanti,” ujarnya.
Dengan kejayaan ini, kumpulan yang diberi nama Nadi Harmoni dari SMK Sungai Choh ini berjaya membawa pulang piala kejuaraan, sijil penyertaan dan wang tunai RM1,000 dan seterusnya bakal mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan di Putrajaya, September nanti.
Pertandingan ini turut disertai lima sekolah menengah dan menjadi platform untuk menyemarakkan semangat kenegaraan terutamanya dalam kalangan generasi muda.
-RI





