
Laporan/foto : Janica Jasmine Temaga James (JAPEN Meradong)
BINTANGOR, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Kira-kira 1,200 peserta dianggarkan menyertai Sarawak Day Fun Run 2025, semalam bertujuan meraikan Hari Sarawak yang disambut secara meriah di Sarawak pada 22 Julai setiap tahun.
Larian anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu bertujuan memperingati perjuangan pembebasan Sarawak daripada penjajahan dan sebagai landasan untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum.

Peserta memulakan larian sejurus acara perlepasan.
Program melibatkan penyertaan pelbagai peringkat masyarakat terdiri pelajar, belia, jabatan kerajaan dan swasta dari dalam dan luar Bintangor itu berlangsung di perkarangan Dewan Masyarakat Bintangor.
Beberapa peserta larian yang ditemui menyatakan penyertaan mereka lebih tertumpu kepada larian secara santai kerana apa yang penting adalah bersama menunjukkan sokongan padu kepada sambutan Hari Sarawak.
“Saya ikut serta larian ini kerana ramai rakan sekolah yang mengikutinya tetapi apa yang penting adalah menyambut seruan sekolah bagi memeriahkan sambutan Hari Sarawak,” kata Senin Nadan, 16, yang merangkul tempat pertama dalam kategori perempuan bawah 18 tahun.

Senin (tiga kanan) Johan Kategori Perempuan Bawah 18 tahun diSarawak Day Fun Run 2025, kelmarin.
Kegembiraan Senin yang memenangi larian tersebut bertambah apabila tempat kedua dan ketiga turut dirangkul Lolita Tera Gundi dan Adelenny Donny Serang yang masing-masing juga berusia 16 tahun.
Hazarullah Safri, 28, johan kategori lelaki terbuka, turut sependapat dengan Senin bahawa penyertaan beliau adalah untuk aktiviti riadah sambil menyatakan sokongan kepada sambutan berkenaan.
“Selain itu, sebagai seorang pelari dan hobi utama, saya juga perlu mengekalkan momentum larian terutamanya melalui acara atau program berkonsepkan larian,” katanya.

Hazarullah (empat kanan) Johan Kategori Lelaki Terbuka.
Secara tidak langsung Sarawak Day Fun Run 2025 telah memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kesukanan dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, usia, bangsa dan agama.
Program larian tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor Datuk Ding Kuong Hiing dan Pegawai Daerah Meradong Thomas Geofferey Kandawang.
-RJ-








