Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

‘Sugha’ Simbol Warisan, Perpaduan Masyarakat

By 14 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran/Amirul Amran (Kemaman)

KEMAMAN, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Aroma wangi rempah-ratus dan kehangatan ‘sugha’ yang berasap dari kawah kembali menyatukan penduduk Kampung Baru Kiri, Kemasik sempena sambutan Hari Asyura kelmarin, sekali gus membangkitkan nostalgia tradisi warisan.

Aktiviti memasak ‘sugha’ sebanyak dua kawah oleh kominiti Kampung Baru Kiri Kemasik yang akan diedarkan kepada penduduk kampung

‘Sugha’ atau bubur Asyura bukan sekadar juadah tetapi lambang kasih sayang, semangat kebersamaan dan simbol silaturahim yang diwarisi turun-temurun.

“Alhamdulillah, hasil gotong-royong dan semangat komuniti yang tinggi, kami berjaya memasak dua kawah besar bubur asyura hari ini. Ia akan diagihkan kepada semua daripada jiran hingga golongan yang memerlukan,” kata Ketua Komuniti MADANI Abdul Aziz Omar.

Bagaimanapun beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap generasi muda yang kian terpisah daripada tradisi apabila lebih tertarik dengan makanan segera berbanding resipi warisan.

‘Sugha’ yang telah siap dimasak dan untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

“Tradisi ini bukan semata-mata tentang memasak, tetapi ia mengajar kita tentang nilai memberi, kasih sayang dan persaudaraan. Jika bukan kita yang teruskan, siapa lagi?” katanya penuh harapan.

Program memasak ‘sugha’ ini bukan sahaja menjadi aktiviti tahunan yang ditunggu-tunggu, malah menjadi jambatan yang menghubungkan generasi dan membina semula kekuatan komuniti melalui nilai murni yang dikongsi bersama.

Tradisi seumpama ini sememangnya harus terus disemai dalam jiwa masyarakat agar kekal sebagai tunjang perpaduan, sekali gus memelihara akar budaya yang menjadi identiti bangsa.

-RI

Tinggalkan komen anda