
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Tema Srikandi Aishah Ghani yang dipersembahkan oleh finalis Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Negeri Pahang dari Kumpulan Seroja, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera menarik perhatian juri sekali gus diangkat menjadi johan.

Barisan juri pertandingan akhir
Menurut Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Seri Bera Nur Atikah Jamaludin persiapan awal untuk peringkat saringan hanya dilakukan dalam tempoh tidak sampai seminggu.
“Alhamdulillah, dalam segala keterbatasan, Allah beri rezeki kemenangan pada hari ini, sebagai persiapan peringkat saringan masa yang diambil tidak sampai seminggu bermula dari penulisan skrip, pemilihan peserta, rakaman dan suntingan video,” katanya.
Ujarnya lagi, konsep persembahan mengambil inspirasi daripada perjuangan tokoh Tan Sri Aishah Ghani untuk diketengahkan kepada masyarakat terutamanya kepada anak-anak muda.
“Kami menggabungkan unsur kesenian seperti lakonan, syair dan sajak untuk mengindahkan pengisahan.
“Selain itu, kami turut mengaplikasikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengintegrasi ilmu baharu sebagai tarikan tambahan kepada pengisahan ini,” katanya lagi.

Antara tetamu jemputan yang hadir
Sementara itu, Naib Johan dimenangi Kumpulan Penglipurlara dari Sekolah Menengah Agama Maran dan tempat ketiga dimenangi Kumpulan Panglima dari SMK Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan.
Kumpulan Tinta Persada, Sekolah Menengah Kebangsaan Chini Timur, Pekan, Kumpulan Anak-Anak Kas, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana, Jerantut dan Kumpulan Wira Watan, Sekolah Menengah Kebangsaan 2, Maran pula masing-masing menerima hadiah saguhati.
-AA-






