Skip to main content
Berita TempatanSabah

Maal Hijrah Kinabatangan Semarak Perpaduan, Hargai Sumbangan Tokoh Komuniti

By 31 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharifah Fairuz (Kinabatangan)

KINABATANGAN, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi satu proses perubahan menyeluruh ke arah kebaikan yang menuntut perpaduan, kesedaran dan pembentukan sahsiah masyarakat berlandaskan nilai Islam.

Pegawai Khas Ketua Menteri Sabah, Mohd Ismail Ayob berkata sambutan Maal Hijrah wajar dijadikan platform untuk memperkukuh silaturahim dan menjauhi unsur perpecahan yang boleh meruntuhkan keharmonian masyarakat.

Mohd Ismail merasmikan Sambutan Maal Hijrah dan Mahrajan Kesenian Islam Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag.

“Hendaklah kita sentiasa mempertahankan keharmonian sosial dan menolak sentimen yang boleh memecah-belahkan masyarakat, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri yang semakin hampir.

“Perpaduan yang terjalin mestilah kukuh dan kuat. Jangan biarkan sentimen permusuhan dan perpecahan menyelinap masuk ke dalam masyarakat kita. Elakkan melakukan rusuhan, fitnah-memfitnah. Kita jangan berpecah hanya kerana berlainan fahaman politik atau parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kinabatangan 1447H/2025M di Dewan Sri Lamag, di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Unit Khidmat Masyarakat MIHA (UKMM) turut menekankan institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan berakhlak mulia.

“Marilah kita semua mendidik anak-anak bermula dengan didikan di dalam rumah. Ibu bapa harus mendidik anak-anak agar sentiasa hormat kepada orang tua, taat kepada guru-guru, hormat kepada pemimpin. Ibarat melentur buluh biar dari rebungnya iaitu dengan memberi pendedahan kepada nilai-nilai Islam dan berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah,” ujarya.

Afzanizam ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kinabatangan 1447H/2025M, kelmarin.

Sementara itu, peserta program, Afzanizam Apdal, 28, menyifatkan tema sambutan tahun ini, ‘Membangun Ummah MADANI’, sebagai amat relevan dalam membentuk masyarakat Islam yang seimbang dan progresif.

“Jika dilihat makna tema ini, ia satu pendekatan untuk membawa masyarakat Islam agar seimbang antara dunia dan akhirat, berilmu, berakhlak serta maju dalam segenap aspek kehidupan.

“Maal Hijrah memberi kesedaran kepada kita semua bahawa hijrah juga adalah berkaitan dengan perubahan daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang lebih baik. Saya berharap tema ini dapat terus disemat ke dalam diri setiap individu Muslim,” katanya.

Juslee ketika menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kinabatangan 1447H/2025M.

Sementara itu, pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag, Johainizamsyah Johari dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sukau, Juslee Arpaih diumum sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kinabatangan 1447H/2025M atas sumbangan dalam pembangunan masyarakat.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran hampir 200 orang termasuk ahli Persatuan Muslimah Daerah, Persatuan Ibu Tunggal Daerah, pemimpin tempatan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Sukau, agensi kerajaan serta pelajar Maahad Tahfiz dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Negeri (SAN) Kinabatangan.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kinabatangan, Mohd Halidun Saleh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat dari Dewan Undangan Negeri Sukau dan Lamag serta Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kinabatangan, Awang Sulong Atim.

-RJ-

Tinggalkan komen anda