
Laporan/foto: Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Sumbangan wanita terhadap kejayaan organisasi sama ada di sektor awam, swasta mahupun institusi kekeluargaan terbukti memberikan impak positif terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Nur Jazlan (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kejayaan wanita dalam pelbagai bidang menunjukkan kemampuan luar biasa golongan itu sekali gus membuktikan keupayaan mereka diiktiraf dalam pembangunan negara.
“Wanita bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, malah memainkan peranan penting membentuk institusi kekeluargaan yang kukuh, termasuk melahirkan generasi yang berjaya sehingga ke menara gading,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Pengamalan Sakinah dan Kembara Keluarga Sejahtera Negeri Johor di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi Johor Bahru, di sini kelmarin.

Nur Jazlan turut melawat pameran yang disediakan oleh beberapa agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, penganjuran program tersebut bertepatan dalam memperkukuh peranan wanita dalam keluarga, selain membantu meningkatkan kecekapan dan prestasi kerjaya di tempat kerja.
“Saya berharap program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada semua wanita tanpa mengira latar belakang dan agama, dalam usaha membina institusi keluarga yang harmoni dan penyayang, di samping memperolehi pelbagai ilmu berkaitan konsep Keluarga Sejahtera,” katanya.
Turut hadir Pengarah Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Noor Faezah Md Esa dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Abd Rashid Kasman.
-RI





