Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Cadang Tambah Perjalanan, Operasi Lebih Awal Bas ke Singapura

By 22 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Fazli Salleh (Johor)

JOHOR BAHRU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor mencadangkan kepada operator bas yang beroperasi ke Singapura agar memulakan operasi seawal pukul 4.30 pagi dan menambah bilangan perjalanan harian bagi menampung peningkatan jumlah penumpang yang semakin ketara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata cadangan tersebut dikemukakan susulan lawatannya ke kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi meninjau keadaan orang ramai yang beratur panjang seawal pukul 4 pagi untuk menaiki bas ke Singapura.

Fazli meninjau keadaan orang ramai yang beratur seawal 4.00 pagi di CIQ Bangunan Sultan Iskandar untuk menaiki bas ke Singapura.

“Saya telah mencadangkan kepada operator bas di Singapura agar operasi bas dapat dimulakan lebih awal, iaitu pada jam 4.30 pagi berbanding waktu sedia ada antara jam 5.00 pagi hingga 5.30 pagi.

“Saya juga mencadangkan agar kekerapan perjalanan ditambah memandangkan jumlah pengguna bas meningkat secara berterusan setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, semalam.

Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, purata peningkatan penumpang bas ke Singapura adalah sekitar 1,000 hingga 3,000 orang setiap bulan.

Bagaimanapun, cadangan untuk mengawalkan masa operasi akan diperhalusi pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura memandangkan operasi MRT di republik itu hanya bermula pada 5:35 pagi.

“Cadangan penambahan trip pula memerlukan pertimbangan operator bas kerana ia melibatkan kos dan aspek operasi. Justeru, pihak LTA akan mengadakan perbincangan lanjut dengan operator-operator berkaitan dalam masa terdekat,” katanya.

Fazli memaklumkan pengendali bas tempatan, Bas Handal Indah kini menyediakan perkhidmatan bas 24 jam sehari dengan frekuensi setiap 30 minit pada waktu bukan puncak dan hampir 150 perjalanan pada waktu puncak.

“Kerajaan negeri sentiasa komited mencari penyelesaian terbaik dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan awam rentas sempadan demi keselesaan dan kelancaran perjalanan rakyat Johor yang bekerja di Singapura,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda