
Laporan/foto: Faizal Nazmi/Fakruddin Rashid
PUTRAJAYA, 31 Ogos (MalaysiaAktif) — Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2025, di sini dengan memandu sendiri Proton Satria Neo miliknya ditemani Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofea.

Acara perbarisan kali ini menjadi yang terbesar dalam sejarah melibatkan 14,062 peserta daripada 81 kontinjen.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada 8 pagi itu menerima sorakan dan tepukan gemuruh pengunjung yang ternyata teruja melihat penampilan bersahaja pasangan diraja yang berjiwa rakyat itu pada sambutan kemerdekaan negara ke-68.
Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua terlebih dahulu disambut oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebelum baginda berangkat ke pentas utama untuk menerima sambutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sambutan penuh gilang-gemilang itu yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku sambil lambang kedaulatan negara, Jalur Gemilang dinaikkan sementara 14 bedilan meriam bergema di seluruh Putrajaya menandakan kesepaduan 14 buah negeri.
Acara diteruskan dengan lafaz ikrar Rukun Negara oleh seluruh pengunjung diketuai Leftenan Komander Mohd Firdaus Arbain, wira negara yang menyelamatkan mangsa bot karam di Teluk Batik, Perak pada 2023.

Jalur Gemilang terus berkibar megah sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2025 berlangsung di Putrajaya.
Biduanita negara Datuk Seri Siti Nur Nurhaliza kemudiannya memukau pengunjung dengan persembahan lagu tema Hari Kebangsaan 2025 sebelum sambutan dimeriahkan dengan perarakan masuk perbarisan oleh 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta yang juga merupakan terbesar dalam sejarah sambutan kemerdekaan negara.
Kelainan dalam perbarisan kali ini ialah menerusi penampilan 10 negara ASEAN berpakaian tradisional masing-masing di bawah Kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 yang diselaraskan Kementerian Luar Negeri, selain Kontinjen Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2026 seliaan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya yang akan memaparkan ikon-ikon unik di Malaysia.
Kemeriahan diteruskan dengan persembahan _human graphic_ oleh 2,000 murid-murid Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari 50 buah sekolah di Selangor yang turur berpadu suara menyampaikan koir empat buah lagu rakyat iaitu Bapak Mek Datang, Dia Datang, Ewo Bule, dan Sayang Kinabalu selain lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Persembahan kebudayaan oleh peserta memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-68 negara, hari ini.
Pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menjadi tumpuan apabila aset tempur utama negara menggegarkan ruang udara Putrajaya dalam formasi yang diketuai sendiri Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, menerusi pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM.
Acara berprestij itu melabuhkan tirai dengan persembahan ‘Citra MADANI’ yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, membabitkan pelbagai agensi, institusi pendidikan serta penggiat seni tanah air.
-FN-





