
Laporan/foto: Rahman Ishak
PUTRAJAYA, 31 Ogos (MalaysiaAktif) — Patriotisme menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.
Seiring perkembangan teknologi terkini, generasi muda era digital menterjemahkan patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi melalui pelbagai cara seperti saluran media sosial dengan kandungan kreatif.

Bagu Ng Poh Yee, generasi digital menzahirkan semangat cintakan tanah air dengan merakam video dan memuat naik ke media sosial.
Seorang penghantar barang ShopeeXpress dari Taman Kinrara, Puchong, Selangor, Ng Poh Yee, 26, berkata semangat cintakan negara ialah dengan berpakaian bertemakan kebangsaan dan cara beliau menonjolkannya adalah dengan menghasilkan kandungan video untuk dikongsikan di platform media sosial.
“Kami merakam video untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara di media sosial ketika kami memakai baju yang melambangkan kemerdekaan pada Hari Kebangsaan, dan itu adalah patriotisme bagi saya.
“ Content creator (pencipta kandungan) pun semakin banyak hasilkan video tentang negara kita. Dengan pelbagai platform seperti TikTok, kita boleh bangkitkan semangat patriotisme, termasuk melalui pakaian tradisional pelbagai bangsa untuk dijadikan kandungan,” katanya kepada MalaysiaAktif pada sambutan Hari Kebangsaan 2025, di sini hari ini.

Muhammad Iman berjalan kaki lebih lima kilometer dari tempat letak kereta untuk ke lokasi sambutan.
Bagi pegawai trafik dari Shah Alam yang juga bekas pemain sepak takraw negeri Selangor, Muhammad Iman Haqim Roslan, 22, kebiasaan generasi muda dalam menggunakan telefon pintar dan media sosial menjadikannya lebih cenderung mengekspresikan diri melalui video dan perkongsian digital.
“Sekarang semua orang ada telefon pintar, kami ambil video dan terus muat naik di TikTok.
“Walaupun penat, rasa seronok bila dapat menyemarakkan suasana sambutan dan mencipta vibes meriah,” katanya yang berjalan kaki lebih lima kilometer dari tempat letak kereta untuk ke lokasi sambutan.

Suriyah Kumarr Selvaraj. mengambil inisiatif sendiri mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai.
Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Media Digital dari Ipoh, Perak Suriyah Kumarr Selvaraj, 23, pula berpendapat patriotisme bagi generasi muda perlu ditafsir lebih luas melangkaui simbolik mengibarkan bendera semata-mata.
“Bagi saya, patriotisme bermakna perpaduan. Walaupun kita sudah 68 tahun merdeka, isu perkauman masih wujud.
“Patriotisme bukan hanya mengibarkan bendera, tapi juga melalui disiplin, menjaga kebersihan, bantu buang sampah, saling hormat-menghormati dan berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira agama atau kaum,” katanya yang sanggup datang dari Ipoh semata-mata untuk menyertai sambutan.
Sambutan Hari Kebangsaan kali ini memperlihatkan bagaimana generasi digital, Generasi Z dan Alpha mengangkat semangat patriotisme sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dengan cara tersendiri, menggabungkan tradisi, teknologi dan kreativiti digital untuk menzahirkan rasa cinta mereka kepada tanah air.
-RI





