
Laporan/ foto: Mohamad Farid Izwan/ Alinda Minsion (Sarawak)
KUCHING, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Pentas Perey: Sketsa Komedi Belia Sarawak 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos lalu di Auditorium Borneo Cultures Museum berjaya mencuri perhatian apabila pentas komedi itu diserikan dengan aksi spontan, kreativiti segar dan jenaka bersahaja yang mencuit hati penonton.
Pertandingan julung kali anjuran Pertubuhan Legasi Industri Kesenian Kuching itu mengetengahkan konsep sketsa komedi sebagai medium kreatif belia Sarawak mengekspresikan idea, bakat dan jenaka mereka di pentas.
Sebanyak empat kategori utama dipertandingkan iaitu Anugerah Paling Berbakat, Anugerah Paling Spontan, Anugerah Paling Kreatif dan Anugerah Kumpulan Terbaik, sekali gus menjadikan pentas ini wadah baharu dalam melahirkan pelapis penggiat seni komedi tempatan.

Aksi kreatif pelajar Kolej Komuniti Santubong mencuit hati penonton di pentas akhir Pentas Perey 2025.
Di pentas akhir, lima pelajar Kolej Komuniti Santubong mencuri perhatian dengan persembahan bertenaga sehingga berjaya muncul juara keseluruhan.
Pasukan yang dianggotai Maxchester Harvey Freddy Shiro, Mohd Adzriff Irfan Mohd Azman, Benedict Remie, Mohd Syahmi Syazwan Simi dan Adib Muhaimin Zamri membawa pulang tiga kemenangan utama.
Mereka meraih gelaran Kumpulan Terbaik yang membawa hadiah RM1,000, sijil, piala dan mesin pencetak, diikuti Anugerah Paling Spontan dengan hadiah sebuah komputer riba, RM300, sijil dan piala, serta Anugerah Paling Kreatif yang turut menawarkan komputer riba, RM300, sijil dan piala.
“Penyampaian secara spontan memang memerlukan keberanian dan ketangkasan berfikir, tetapi banyak berlatih membantu kami menghiburkan penonton dengan cara yang segar dan tidak dijangka. Sesungguhnya, pengalaman ini sangat berharga dan saya berharap ia membuka lebih banyak peluang dalam dunia seni komedi,” kata Benedict Remie, 19, penerima Anugerah Paling Spontan.
Sementara itu, Maxchester Harvey, 19, menegaskan bahawa kreativiti menjadi nadi utama dalam setiap persembahan mereka, sekali gus faktor penting menarik perhatian penonton dan memastikan mesej disampaikan dengan berkesan.
“Kami cuba menggabungkan unsur budaya tempatan bersama humor yang dekat dengan hati penonton. Ditambah pula sokongan pasukan dan bimbingan jurulatih, kami berjaya menghasilkan persembahan yang unik dan menarik,” ujarnya.

Pasukan Kolej Komuniti Santubong meraikan kejayaan juara dengan tiga anugerah utama di Pentas Perey 2025.
Di sebalik kejayaan gemilang itu, terserlah peranan besar Alinda Minsion selaku Pegawai Pembangunan Pelajar yang membimbing pasukan dengan penuh dedikasi sejak awal persiapan.
Kehadiran 25 pelajar kolej sebagai penyokong setia turut meniupkan semangat juang dan keyakinan, sekali gus menjadi pendorong utama pasukan melangkah penuh yakin hingga ke pentas kemenangan.
Kejayaan berkenaan membuktikan pelajar Kolej Komuniti Santubong bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah menyerlah dengan bakat kreatif, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum yang memperkukuh jati diri serta mengangkat martabat belia Sarawak di pentas seni.
-RJ-





