
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Kampung Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Asam Jawa semalam berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian, manakala pertandingan basikal berhias di Dewan Lestari menjadi tarikan utama.

Peserta pakaian beragam kategori berumur antara 4 hingga 6 tahun bergambar kenangan.
Para peserta menghias basikal dengan Jalur Gemilang, lampu berwarna-warni serta pelbagai elemen kreatif bertemakan kemerdekaan, sekali gus mempamerkan semangat patriotik dan kreativiti warga Komuniti Kampung KEDA Asam Jawa.
Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Kampung KEDA Asam Jawa, Talib Kassim, berkata sambutan tahun ini sedikit berbeza apabila pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan basikal berhias atas permintaan penduduk setempat.
“Kami ingin memberi kelainan dalam sambutan kemerdekaan kali ini atas cadangan warga komuniti sendiri, dan ternyata ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” ujarnya.
Selain itu, sambutan dimeriahkan dengan pertandingan nyanyian lagu patriotik yang menampilkan bakat anak muda serta pertandingan pakaian beragam bertema kemerdekaan yang mencuit hati penonton dengan kreativiti para peserta.

Salah seorang peserta pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik,
Sementara menanti detik 12 malam, warga komuniti mengadakan majlis doa selamat sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kemerdekaan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Seorang penduduk, Nurdina Azmi, 15, berkata beliau sentiasa menantikan detik 31 Ogos kerana ingin menyaksikan kemeriahan tembakan bunga api yang menjadi simbolik sambutan kemerdekaan.
“Malam ini saya datang untuk menyaksikan tembakan bunga api, tetapi berbeza dengan tahun lalu, saya lebih teruja melihat basikal berhias yang penuh kreativiti dan semangat kemerdekaan kerana ia benar-benar menceriakan suasana sambutan,” ujarnya.
-RI





