
Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Kampung Sungai Durian menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 dengan pelbagai pengisian menarik yang mendapat sambutan hangat, sekali gus menzahirkan semangat patriotisme dan perpaduan masyarakat setempat.

Sambutan HKHM 2025 di Kampung Sungai Durian yang penuh warna-warni.
Program yang berlangsung di Dewan Tomoi, Kampung Sungai Durian semalam dimulakan dengan acara berjalan 10 ribu langkah yang disertai pelbagai lapisan masyarakat sebagai simbol kesihatan dan kebersamaan, diikuti pemeriksaan kesihatan serta pertandingan pakaian beragam kanak-kanak.
Kemeriahan sambutan diteruskan dengan acara sukaneka kanak-kanak dan dewasa yang menceriakan suasana serta mengeratkan hubungan silaturahim penduduk.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Sungai Durian, Mohd Khir Hamid, dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat menjayakan sambutan tersebut.
“Walaupun hujan, para peserta tetap setia bersama-sama di dewan dan bawah khemah. Sokongan masyarakat ini mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras Komuniti MADANI,” ujarnya.

Mohd Khir mengetuai sesi regangan sebelum memulakan acara berjalan 10 ribu langkah.
Menurutnya lagi, pertandingan gubahan bertema merdeka turut diadakan bagi memupuk semangat patriotik, menampilkan hasil kreatif penduduk melalui gubahan bunga, pulut kacau atau wajik serta buah-buahan.
Pegawai Penerangan Daerah Pendang, Syamimi Aaizag Ibrahim, dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa penganjuran sambutan ini bukan sahaja meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, malah menjadi wadah mengukuhkan semangat Komuniti MADANI yang berteraskan kesejahteraan, saling menghormati dan kerjasama.
“Saya terharu dengan sambutan hari ini dan berharap penganjuran seperti ini dapat diteruskan dengan lebih meriah serta melibatkan lebih ramai penyertaan masyarakat pada tahun hadapan,” ujarnya.
-RI





