
Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin/Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)
HUTAN KAMPUNG, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Jalur Gemilang berkibar megah di atas lebih 50 buah motosikal yang merentasi kawasan kampung, hamparan sawah padi dan bandar dalam Konvoi Motosikal Merdeka anjuran Komuniti MADANI Bukit Pinang pagi tadi sempena sambutan JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ahmad Ridzuan, Pengerusi JPKKP Alor Senibong.
Konvoi disertai lebih 50 buah motosikal bersama dua kenderaan Jabatan Penerangan (JAPEN) dan diiringi oleh pasukan polis peronda.
Acara pelepasan konvoi disempurnakan Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar, yang kemudiannya turut merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI di lokasi penamat.
Simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Tarmizi Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lengkuas, menjadi pembuka tirai perjalanan konvoi.
Peserta kemudiannya bergerak melalui Kampung Telok, Alor Senibong, Taman Bayu dan berakhir di Dewan Hutan Kampung, lokasi program utama.
Laluan konvoi yang merentasi landskap sawah padi dan kampung yang kemudiannya bertukar menjadi bandar memberi pengalaman unik, diiringi deruman enjin serta kibaran Jalur Gemilang yang menyemarakkan rasa cintakan negara sepanjang perjalanan.

Peserta konvoi turut bersama semasa penyerahan Jalur Gemilang kepada Haji Haris Fazilah, Pengerusi JPKKP Batu Tiga, Langgar.
Dalam ucapan perasmiannya Mahfuz, menekankan pentingnya generasi muda menghayati erti sebenar kemerdekaan.
“Generasi baharu hari ini tidak merasai jerih perih generasi terdahulu dalam membebaskan negara daripada penjajahan. Sebab itu, kita mesti terus menyemai semangat cintakan tanah air agar ia tidak luntur ditelan zaman,” tegasnya.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, tetapi juga mengukuhkan perpaduan komuniti melalui penglibatan bersama dalam aktiviti berkonsepkan kebersamaan dan cintakan negara.
-RI





