
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Mazlin Basir (Pontian)
PONTIAN, 17 Ogos (MalaysiaAktif) – Golongan belia digesa agar lebih serius dalam menyahut Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai simbol kecintaan dan kebanggaan terhadap tanah air.
Penghulu Mukim Pontian Mohammad Muhaimin Hussin merangkap Ketua Komuniti Madani Kampung Maju Jaya, berkata penghayatan semangat patriotisme tidak seharusnya terbatas kepada acara rasmi semata-mata, sebaliknya wajar dizahirkan dalam kehidupan harian.

Permainan puzzles antara menarik perhatian pada program tersebut.
“Belia adalah tonggak masa depan negara. Jika mereka tidak mula menanam rasa bangga dan sayang pada Jalur Gemilang, kita bimbang semangat patriotik akan semakin luntur di masa hadapan.
“Antara langkah mudah ialah dengan mengibarkan bendera di rumah, premis perniagaan dan kenderaan,” katanya ketika berucap pada Program Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kejohanan Sukan Merdeka Peringkat Mukim Pontian sempena sambutan Kemerdekaan ke-68 di Kompleks Penghulu Mukim Pontian, di sini semalam.
Majlis pelancaran kempen berkenaan telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian Kamalludin Jamal, yang turut mengajak masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang secara tertib dan serentak bagi memeriahkan suasana sambutan kemerdekaan.
Bagi menyerikan lagi program, pelbagai aktiviti turut dianjurkan termasuk sukaneka, pertandingan e-Sukan, cabaran Puzzles Muka Awak Muka Saya, pertandingan mewarna serta beberapa acara lain yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Permainan e-Sukan turut menarik minat golongan belia.
Mohammad Muhaimin turut mencadangkan agar lebih banyak program berbentuk santai dan kreatif dilaksanakan pada masa hadapan, termasuk aktiviti sukarelawan komuniti yang menggabungkan semangat kebangsaan dengan usaha kebajikan.
Turut hadir Penghulu 2 Mukim Pontian Luqman Nulhakim Zulkarnain dan Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian Qiatuddin Aliyuddin.
-RI





