
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 5 Ogos (MalaysiaAktif) – Setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan persekutuan sentiasa berpaksikan kepada keperluan dan kebajikan rakyat, selaras dengan prinsip yang dijunjung di bawah tekad Malaysia MADANI.

Azuary (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang interaktif Kahoot pada program tersebut.
Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis berkata, adalah wajar untuk rakyat meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dan mendukung dalam menjayakan agenda reformasi negara.
“Setiap polisi yang diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu bentuk penghargaan kepada rakyat, daripada subsidi bersasar, program pendidikan percuma hingga kepada inisiatif ekonomi digital.
“Inilah wajah Malaysia MADANI iaitu cerminan kepada sebuah kerajaan yang mendengar isu yang diluahkan rakyat, dan program ini menjadi antara platform efektif dalam menyampaikan mesej kerajaan secara langsung, di samping membolehkan pemimpin memahami denyut nadi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai 3.0 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Balung Cocos, di sini pada Ahad.

Edaran bahan penerbitan oleh kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Tawau berkaitan dasar kerajaan kepada peserta program, kelmarin.
Program berkenaan turut menyaksikan pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) yang dikendalikan NADI Kampung Balung Cocos bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti mengenai penggunaan internet secara beretika dan selamat.
Selain itu, Pejabat Penerangan Daerah Tawau juga mengedarkan risalah dasar kerajaan dan maklumat umum sebagai usaha meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hak dan peluang yang disediakan oleh kerajaan MADANI.
Turut hadir, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Balung Cocos, Yacob Damin dan Wakil Ketua Anak Negeri (WNC) Nurhafizah Asmad.
-RJ-





