Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Deruman Motosikal BBMC Hangatkan KMJG 2025 di Miri

By 15 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohammad Abd Rahman/ Wirwan Nor Rama (Sarawak)

MIRI, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Hujan tidak menghalang kemeriahan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 apabila konvoi yang diiringi 20 motosikal berkuasa tinggi bergerak di beberapa lokasi sekitar Miri, kelmarin.

Ketibaan beberapa buah motosikal BBMC yang mengiringi konvoi KMJG di Permyjaya.

Sebaliknya, deruman motosikal berkuasa tinggi mengujakan orang ramai menyambut ketibaan konvoi yang memulakan penjelajahan di seluruh Sarawak bagi membawa mesej Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Penyertaan pemilik dan kumpulan motosikal berkuasa tinggi itu dilihat sebagai sumbangan bersama dalam menyemarakkan semangat patriotisme rakyat melalui kempen kibaran Jalur Gemilang.

“Hobi kami sebagai ahli Big Bikers Miri Club (BBBMC) sememangnya mahal kerana kebanyakan motosikal kami berkuasa antara 1,200 hingga 1,500 cc. Namun, kenderaan yang dimiliki ini kami manfaatkan untuk menonjolkan semangat patriotisme melalui program KMJG di sini.

Nurul (tengah) bersama rakan penuh semangat melihat ketibaan konvoi KMJG yang diiringi motosikal berkuasa tinggi BBMC di Wisma Persekutuan Miri.

“Walaupun hujan, itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami dan kami berbangga dapat turut serta dalam program atau kempen sebegini. Sebelum ini, BBMC sering terlibat dalam beberapa program serupa termasuk mengiringi kenamaan,” kata Timbalan Presiden BBMC, Bahari Mohsidi, 64, ketika ditemui.

Sementara itu, bagi Nurul Atika Kasimin, 27, yang menantikan ketibaan konvoi KMJG turut berkongsi keterujaan melihat konvoi oleh motosikal berkuasa tinggi tersebut di Wisma Persekutuan Miri.

“Saya bersama rakan lain amat menantikan program ini dan apa yang pasti, selepas ini kami akan terus setia mengibarkan bendera keagungan negara,” katanya.

Ketua konvoi KMJG Adillatul (tengah) bersama lain mengibarkan Jalur Gemilang.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak merangkap Ketua Konvoi KMJG Sarawak 2025 Adillatul Hasif Nasah menyeru masyarakat Miri untuk merealisasikan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

“JAPEN melalui Kempen Kibar Jalur Gemilang berharap dan amat mengalakkan setiap lapisan masyarakat di sini merancakkan lagi kibaran Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan padu dan kesetiaan kepada negara terutamanya di Bulan Kebangsaan ini,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda