Skip to main content
Berita TempatanSabah

Keriangan Murid Tadika Sambut Konvoi KMJG 2025 di Kampung Keramat Tawau

By 15 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Hadi/Asrul Affandi (Semporna)

SEMPORNA, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Keriangan jelas terpancar di wajah 20 murid Tadika KEMAS Kampung Keramat, di sini apabila deretan kenderaan berhias Jalur Gemilang tiba di pekarangan tadika mereka, Rabu lalu.

Sambil melambai bendera kecil di tangan, kanak-kanak tersebut menyambut kehadiran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025, sekali gus menyemarakkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan di kampung berkenaan.

Semarak Merdeka! Murid Tadika KEMAS Kampung Keramat melambai Jalur Gemilang sambut Konvoi KMJG 2025.

Menurut Penolong Pegawai Daerah Kanan Semporna, Abdul Aziz Bool, kunjungan itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 dan memupuk semangat patriotik selain memberi pengalaman menyeronokkan kepada murid.

“Dengan kehadiran Konvoi KMJG, kita berharap dapat menyuntik semangat kemerdekaan kepada generasi muda dan menyemarakkan lagi sambutan HKHM di Semporna.

“Kita mahu anak-anak ini membesar dengan rasa cinta kepada negara dan memahami erti kemerdekaan sejak di bangku tadika. Inilah generasi pewaris masa depan yang akan memimpin negara,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Papan Tanda Tabika KEMAS, di sini.

Tambahnya, KMJG merupakan program tahunan di seluruh negara yang bertujuan mendekati rakyat dan memperkukuh semangat patriotisme.

Jainisah diiringi Adam (dua dari kiri) menyerahkan papan tanda nama Tadika KEMAS Kampung Keramat, Semporna ketika persinggahan Konvoi KMJG 2025.

Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan Komuniti MADANI Kampung Bunga, Adam Tahing berkata kehadiran konvoi tersebut bukan sahaja membawa keceriaan kepada kanak-kanak, malah menjadi wadah penting untuk memupuk rasa cinta kepada negara sejak awal usia.

“Persinggahan di tadika itu turut memberi peluang kanak-kanak menyertai pelbagai aktiviti seperti mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik,”ujarnya.

Majlis berkenaan juga menyaksikan penyerahan papan tanda nama baharu Tadika KEMAS Kampung Keramat, sumbangan khas Komuniti MADANI Kampung Bunga dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Semporna.

-RJ-

Tinggalkan komen anda