
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Instutisi Pemulihan Dadah Jelebu (Jelebu)
JELEBU, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Masyarakat disaran menjadi pelindung dan mewujudkan ruang sokongan serta pemulihan untuk bekas banduan agar mereka tidak terpinggir dalam menjalani kehidupan.
Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad turut menyarankan prospek untuk menjadikan hukuman penjara sebagai sempadan antara keinsafan dan harapan.

Prospek di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu
“Ia sekali gus melakar perubahan hidup berlandaskan agama dan nilai murni ke arah yang lebih baik,” katanya selepas merasmikan Dewan Terbuka Muhasabah, Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, di sini pada 21 Ogos lepas.
Penubuhan dewan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan kemudahan yang kondusif untuk kesejahteraan penghuni dan warga kerja.
Pengarah Bahagian Korektif Jabatan Penjara Malaysia Komisioner Penjara (KP) Nora Musa berkata penubuhan dewan berkenaan juga adalah satu inisiatif penting dalam memperkasa institusi tersebut.

Pelancaran tabung kelas tahfiz
“Ia berfungsi sebagai ruang pelbagai guna untuk aktiviti dalaman dan program pemulihan. Ia juga membuktikan usaha pemulihan bukan semata-mata tanggungjawab individu dalam tahanan tetapi melibatkan warga jabatan, masyarakat dan pihak berkepentigan dalam membentuk insan yang lebih baik apabila kembali ke masyarakat,” katanya.
Turut hadir bersama Pegawai Daerah Jelebu Abdul Rahim A.Aziz, Ketua Polis Daerah Jelebu Supt Azizan Said dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Agihan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Muttaqin Mohd Fakiri.
-FN





