
Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan/Ahmad Suhaimi Mokhtar
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (MalaysiaAktif) – Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berharap generasi muda Kampung Kerinchi diutamakan untuk memiliki rumah di kawasan tersebut.
“Persatuan Waris Kerinchi kini mempunyai ramai ahli yang tinggal di luar kawasan Kampung Kerinchi, namun saya berharap supaya generasi muda mereka dapat memiliki rumah di kawasan ini.

Fahmi ketika melawat Mercu Tanda Kampung Kerinchi bersama Pegawai DBKL Lembah Pantai.
“Justeru itu, saya telah meminta supaya sekiranya ada projek-projek pembangunan termasuk rumah mampu milik, Residensi Wilayah atau Residensi Madani pada masa akan datang, maka perlu ada satu dasar yang memastikan mungkin dalam 50 hingga 60 peratus daripada pembeli itu diberikan keutamaan kepada anak-anak dari Kampung Kerinchi,” ujarnya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, berkata demikian di Majlis Perasmian Mercu Tanda Kampung Kerinchi, di sini kelmarin.
Menurutnya, selain menjadi tanda penghormatan kepada sejarah setempat, ia juga turut menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang iaitu untuk memperkukuh identiti Kampung Kerinchi melalui pembangunan terancang, pewartaan kawasan dan program khas untuk penduduk tempatan.
Fahmi turut memaklumkan bahawa perbincangan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berlangsung beberapa tahun, tetapi akibat pandemik dan beberapa perkara lain, ia tergendala dan pihaknya akan memulakan semula perbincangan tersebut bagi memastikan pembangunan kawasan sekitar akan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Perasmian Mercun Tanda oleh Fahmi bersama Persatuan Waris Kerinchi di hadapan KL Gateway Jalan Kerinchi.
Pengerusi Persatuan Waris Kerinchi, Burhanuddin Hasan, ketika ditemui selepas majlis tersebut gembira dengan pembangunan Kampung Kerinchi yang masih mengekalkan identiti kawasan tersebut.
“Saya sangat bangga melihat Mercu Tanda Kampung Kerinchi kini bukan sahaja menjadi realiti, namun begitu ianya adalah simbol kesinambungan usaha untuk memartabatkan nama, sejarah dan identiti kawasan ini,” katanya.
Inisiatif pembinaan Mercu Tanda Kampung Kerinchi ini adalah hasil kerjasama pihak DBKL dengan Persatuan Waris Kerinchi dan Persatuan Kebajikan Tiga Luha.
-RI





