
Laporan/foto: Herman Hamid
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (MalaysiaAktif) – Lebih kurang 30 ribu orang dijangka akan hadir bersama bagi menjayakan Program Riuh ASEAN X 2025 yang akan berlangsung bermula 17 hingga 26 Oktober ini.
RIUH X ASEAN 2025 merupakan acara kreatif terbesar di Asia Tenggara akan menghimpunkan elemen seni, budaya, muzik dan keusahawanan dari seluruh rantau ASEAN hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan My Creative Ventures Group.

Menteri Komunikasi mencuba permainan pickelball yang merupakan sukan baru.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, berkata penganjuran kali ini melibatkan kolaborasi pelbagai pihak dari Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia.
“Menerusi kepengerusian ASEAN pada Oktober ini , RIUH X ASEAN akan dilaksanakan dalam skala serantau dengan penglibatan komuniti kreatif dari lima negara,” ujarnya pada sidang media di Pickle Depot Sentul, di sini kelmarin.
Selain itu acara kemuncak “Riuh X ASEAN 2025 Marketplace” turut diadakan pada 22 Oktober hingga 25 Oktober ini di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Ia bakal menampilkan lebih 200 jenama runcit, 100 jenama makanan dan minuman, 40 persembahan artis, 30 gerai interaktif, 20 instalasi kreatif selain platform jaringan dan kerjasama rentas negara bagi pemain industri kreatif.
Sehubungan itu juga, RIUH ASEAN Music Conference atau FrequenSEA akan berlangsung pada 21 dan 22 Oktober di Kuala Lumpur bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 8.30 malam.
Program sokongan FrequenSEA ini akan diadakan di lokasi strategik sekitar Lembah Klang, termasuk Rumah Suara, Festival Panggung Gelap, Celebration Rhythm & Poetry, Suara Belancar, Identiti Malaysia, Lit Ponek dan Talk Music.
Acara ini bakal menghimpunkan pemuzik, penerbit dan pencipta lagu dari seluruh ASEAN untuk membincangkan hala tuju industri muzik serantau dan ianya percuma untuk orang ramai.
Datuk Fahmi Fadzil juga mengesahkan bahawa RIUH Merdeka 2025 turut dianjurkan pada 30 hingga 31 Ogos ini di ruangan tempat meletak kenderaan Monumen Alaf Baru Putrajaya dengan konsep 30 jam tanpa henti.
Segmen ini akan meraikan perpaduan, kebudayaan dan kreativiti Malaysia melalui seni, muzik dan komuniti.
“Artis terkenal tanah air seperti Alif Satar, Ayda Jebat , Yuna, Misha Omar, Pop Shuvit dan ramai lagi akan membuat persembahan yang penuh dengan semangat kemerdekaan,” katanya.
Turut hadir di sidang media ini ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa.
-RI





