
Laporan/foto : Aishah Latip/ Cassidy Lisut (Sarawak)
LUNDU, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Masyarakat disaran menghargai khazanah alam semula jadi khususnya flora dan fauna yang menjadi warisan berharga negara kerana pemeliharaannya bukan sahaja memberi manfaat kepada keseimbangan ekosistem malah menjamin kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

Nancy bersama peserta program mengibarkan bendera Malaysia semasa nyanyian lagu Jalur Gemilang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah menghargai alam semula jadi juga dilihat dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga persekitaran, selain berperanan mengeratkan silaturrahim melalui aktiviti berasaskan komuniti.
“Semangat cintakan alam sekitar adalah wajar seiring dengan semangat cintakan tanah air, lebih-lebih lagi dalam suasana sambutan Bulan Kemerdekaan.
“Penglibatan masyarakat melalui aktiviti rekreasi, pendidikan dan ekopelancongan berteraskan alam semula jadi juga mampu menterjemahkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Fiesta Gunung Gading 2025 di Taman Negara Gunung Gading, Lundu, dekat sini, kelmarin.

Nancy (kiri) mengetuai pendakian di Taman Negara Gunung Gading.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Santubong itu turut menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti mendaki sebagai amalan gaya hidup sihat kerana ia bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal malah memberi ketenangan minda melalui suasana alam semula jadi.
Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang fiesta antaranya pertandingan fotografi, senamrobik perdana, pertandingan mewarna, acara Mari Mencoba (dart dan cabutan bertuah).
Beberapa agensi kerajaan melibatkan Pesuruhjaya Sukan, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan PERKESO turut mengambil bahagian dalam pameran sempena program itu.
-RJ-





