
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah (Machang)
MACHANG, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Institusi pondok di Malaysia akan dipulihkan untuk dimartabatkan semula agar kembali menjadi benteng utama dalam mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam selari perkembangan dan tuntutan semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekolah agama dan pondok akan terus diperkasa dan dibangunkan menggunakan teknologi baharu termasuk pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

Anwar mengadakan pertemuan dengan ulama dan guru pondok dalam program Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM, Kampus Machang.
Usaha itu, katanya adalah sebahagian daripada langkah mengukuhkan pendidikan Islam dan menangkis pengaruh sekular yang kian mencabar.
“Sekolah pondok suatu ketika dahulu menjadi tunjang mempertahankan Islam. Oleh itu, adalah penting membangunkan semula institusi ini sebagai kekuatan umat, mendepani cabaran teknologi masa kini serta menjadi benteng terhadap kerosakan moral dan pengaruh sekular,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika meluncurkan program Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Dewan Profesional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, di sini, kelmarin.

Orang ramai dan tetamu jemputan yang hadir.
Terdahulu, Anwar menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.03 juta kepada wakil pondok yang menghadiri Program Muzakarah Umara’ dan Ulama Pondok (UMRAN) 2025.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang.
-RI






