
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah (Machang)
MACHANG, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Negeri Kelantan bukan sahaja menjadi platform penyebaran mesej kenegaraan, malah turut menyemai dan menggelorakan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, khususnya golongan pelajar.

Penyerahan Jalur Gemilang oleh Ketua Jajahan Machang kepada agensi persekutuan, negeri, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan Komuniti MADANI
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor, berkata KMJG bukan sekadar konvoi yang menyelusuri jalanan, tetapi membawa mesej nasional untuk menyedarkan seluruh rakyat Malaysia agar bersatu padu dalam meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Muhd Nor Aswadi berkata KMJG 2025 melibatkan 68 buah kenderaan sebagai simbolik 68 tahun kemerdekaan negara melibatkan 36 buah kenderaan pelbagai agensi dan 32 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Harley Davidson Negeri Kelantan.
“Sempena Hari Kebangsaan ini, ambillah peluang untuk menghiasi rumah, pejabat, premis, sekolah dan pelbagai lokasi dengan kibaran Jalur Gemilang yang lengkap sifatnya, tidak lusuh, uzur atau koyak,” katanya ketika berucap merasmikan KMJG 2025 Peringkat Negeri Kelantan di lokasi terakhir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2 Machang, di sini semalam.

Kehadiran pelajar SMK Hamzah 2, Machang.
Turut hadir Ketua Jajahan Machang Mohd Zamri Ibrahim, Pengetua SMK Hamzah 2 Halim Mat Sulaiman, ketua jabatan persekutuan dan negeri, Ketua serta Ahli Jawatankuasa Komuniti MADANI Daerah Machang, dan Ahli Kelab Malaysiaku SMK Hamzah 2 Machang.
Bagi edisi 2025 peringkat negeri, konvoi KMJG 2025 telah singgah di lima lokasi utama (check point) sepanjang dua hari perjalanan.
Kelmarin, konvoi telah memulakan perjalanan dari Kolej Komuniti Jeli, sebelum ke Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja 1 Tanah Merah dan Dataran Bandar Baru Pasir Mas.
Semalam, Dewan Jubli Perak Politeknik Kota Bharu dan SMK Hamzah 2 Machang menjadi persinggahan terakhir konvoi.
-RI





