Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Jejak Digital Tak Hilang

By 14 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis

PADANG BESAR, 14 Ogos (MalaysiaAktif) – Setiap tindakan pengguna di alam maya sama ada memuat naik gambar, menulis komen atau sekadar menekan like akan meninggalkan digital footprint (jejak digital) yang kekal.

Walaupun sesuatu kandungan dipadam, salinannya mungkin masih tersimpan di pelayan internet, diarkib oleh pihak ketiga atau telah dimuat turun oleh orang lain.

Bahan penerbitan Jabatan Penerangan dan SKMM turut diedar.

Setiap individu yang menyertai mana-mana platform digital perlu sedar bahawa jejak digital ini kekal dan boleh diakses pada masa hadapan dengan pihak universiti, majikan atau pihak berkuasa berpotensi menilai rekod tersebut sebelum membuat keputusan.

Kandungan negatif yang pernah dimuat naik pula boleh memberi kesan jangka panjang terhadap reputasi seseorang.

Menurut Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Perlis Nurul Elani Rashid, pendekatan mesra umur dan berfokus kepada realiti pemikiran murid sekolah menengah berhubung perkara itu amat penting dalam mendidik generasi muda.

“Maklumat peribadi yang dikongsikan secara terbuka boleh memberi risiko keselamatan seperti penipuan, identity theft (pencurian identiti) atau serangan siber,” katanya ketika ditemui sempena Program Jiwa@Kelab Malaysiaku kolaborasi bersama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Negeri Perlis, petang semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa kandungan yang menyinggung atau mengundang kecaman boleh memberi kesan emosi dan juga implikasi perundangan kepada individu yang terlibat.

Penyelaras Kelab Malaysiaku turut memberikan ceramah berkaitan buli.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman Siti Batrisyia Aishah Mohd Ajid, 13, penggunaan media sosialnya dihadkan oleh ibu bapa bagi memastikan kawalan dan pemantauan berterusan.

“Saya dibenarkan menggunakan media sosial, namun ibu bapa saya tetap memantau penggunaan internet terutama di media sosial,” katanya.

Taklimat penggunaan internet selamat yang disampaikan oleh pegawai SKMM ini diadakan bagi menjayakan Kempen Internet Selamat melibatkan pelajar sekolah di seluruh negeri Perlis.

-RI

Tinggalkan komen anda