
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 14 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana meriah dan penuh warna-warni menyelubungi Sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Kampung Balung Cocos, apabila penduduk setempat menyajikan persembahan tarian tradisional unik yang memukau para pengunjung.

Jainisah menyerahkan cenderahati kepada Hamild sebagai tanda penghargaan sempena program KMJG.
Pengarah Penerangan Negeri Sabah merangkap Ketua Konvoi KMJG 2025 Jainisah Mohd Noor, berkata sambutan itu mencerminkan semangat cintakan negara sambil mengekalkan identiti budaya masyarakat Cocos yang sudah berakar di Sabah sejak tahun 1950-an.
“Walaupun kemerdekaan dan pemodenan telah mengubah banyak perkara, jati diri dan warisan masyarakat Cocos di sini tetap terpelihara. Inilah antara keunikan yang ingin kami tonjolkan kepada generasi muda,” katanya ketika berucap dalam program tersebut di sini pada Selasa.
Antara tarian yang dipersembahkan termasuk tarian Melengguk oleh belia lelaki dengan pakaian tradisional Cocos, diikuti persembahan tarian dansa berpasangan yang menggabungkan unsur budaya Sepanyol dan Melayu.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) menuju ke Kampung Balung Cocos, Tawau.
Tambahnya lagi, keunikan gabungan muzik dan gerak tari itu menjadi bukti kekayaan budaya masyarakat Cocos yang wajar dipelihara sebagai warisan negeri.
“Masyarakat Cocos di sini bukan sahaja mengekalkan budaya, malah menjadikannya sebagai identiti kebanggaan yang berpotensi menarik pelancong,” ujarnya.
Program sambutan KMJG di Balung Cocos telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Datuk Hamild @Hamid Awang.
Untuk makluman, kampung tersebut merupakan antara destinasi persinggahan konvoi KMJG 2025 di Sabah, yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
-RJ-





