Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Warga Politeknik Kuala Terengganu Semarakkan Jalur Gemilang di Pulau Warisan

By 14 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain/Politeknik Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana meriah mewarnai pagi di ibu negeri apabila kira-kira 200 pelajar dan kakitangan Politeknik Kuala Terengganu menyertai Merdeka Walk, acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang menuju Pulau Warisan, sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025, kelmarin.

Timbalan Pengarah Politeknik Kuala Terengganu Haziman Madiah berkata program itu bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme malah menjadi wadah mengukuhkan perpaduan selaras tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.

Pelajar Politeknik Kuala Terengganu memasang Jalur Gemilang di sepanjang terusan Pulau Warisan sebagai simbol semangat patriotisme.

“Aktiviti ini memberi manfaat dari segi kesihatan, di samping mengeratkan hubungan antara pelajar dan kakitangan. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” jelasnya.

Sementara itu, pembantu akauntan Maznah Hamat, 50, menganggap penyertaannya dalam program berkenaan sebagai peluang merehatkan minda selepas kesibukan di pejabat sambil mengeratkan silaturahim.

Warga Politeknik Kuala Terengganu merakam kenangan bersama selepas menyempurnakan Merdeka Walk sejauh tiga kilometer ke Pulau Warisan.

Pelajar semester satu dari Bintulu, Sarawak Alvin Avit Avun, 18, pula berkongsi keterujaan dan kegembiraannya kerana dapat beriadah sambil menikmati keindahan pantai dan warisan budaya Terengganu.

Setibanya di Pulau Warisan, peserta bergotong-royong memasang dan menghias Jalur Gemilang di sepanjang terusan, simbol kesatuan dan kebanggaan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Program tersebut sekali lagi membuktikan bahawa semangat merdeka mampu menyatukan semua lapisan masyarakat melalui aktiviti yang santai namun penuh makna.

-RI

Tinggalkan komen anda